Pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC memberi kemasukan percuma kepada penyokong wanita dan kanak-kanak perempuan bagi perlawanan Piala Malaysia 2024/2025.
Perkara ini diumumkan oleh KDA menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana kemasukan percuma ini bagi perlawanan menentang Kuala Lumpur City di Stadium Darul Aman pada 22 November ini.
Baca Juga:
- Sanusi Sedia Bantu Pemain Kedah Darul Aman
- Sony Norde Tinggalkan Kedah Darul Aman
- Pemain Kedah Darul Aman ‘Rindu’ Dengan Gaji
“Kepada semua penyokong KDA FC, kami ada berita gembira! Untuk perlawanan Piala Malaysia antara KDA FC vs KL City di Stadium Darul Aman, kami menawarkan masuk percuma khas untuk wanita dan kanak-kanak perempuan,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan.
Ini bukan kali pertama penyokong wanita dibenarkan untuk masuk ke stadium secara percuma dimana pasukan Selangor sering menggunakan inisiatif ini bagi menghargai penyokong mereka.
Sejak kebelakangan ini, berita kurang sedap menghantui pasukan Kedah Darul Aman dimana masalah tunggakan masih membelenggu pasukan itu selain pemain import memutuskan untuk meninggalkan pasukan ketika saingan liga belum tamat.
Sony Norde mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad Hijau Kuning sebelum saingan Liga Malaysia musim 2024/2025 berakhir.
Sony Norde ucap selamat tinggal selepas 5 musim beraksi di Liga Malaysia. Difahamkan, Kapten Kedah Darul Aman itu akan melengkapkan perpindahan ke sebuah kelab Liga 1 Indonesia awal bulan depan. 👋🏼🔜🇮🇩@ASTROARENA pic.twitter.com/Gavr1DvlWt
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) November 12, 2024
Bekas pemain Melaka United dan Terengganu itu dilaporkan berhijrah ke saingan liga negara jiran iaitu Indonesia.
Sebab utama mengapa Sony Norde meninggalkan pasukan masih belum diketahui ketika artikel ini ditulis namun ramai yang berpendapat ekoran masalah kewangan yang melanda pasukan itu.
Sebelum ini, Vocket melaporkan bahawa salah seorang pemain Kedah mendedahkan beliau sudah sembilan bulan tidak menerima gaji dan perkara ini menjadi perbualan di laman media sosial.
Ekoran masalah ini, pemain Kedah telah memboikot sesi latihan sebanyak dua kali selepas tiada langkah proaktif yang diambil pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji.
Ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain terpaksa menurunkan pemain muda yang baru sahaja menjalani latihan selepas tamat Sukan Malaysia (SUKMA) pada perlawanan menentang Kuala Lumpur City yang menyaksikan Kedah tewas dengan keputusan 5-0.
Seorang lagi pemain import Kedah, Jose Cleylton menegaskan beliau tidak pernah berdepan masalah tunggakan gaji dalam kariernya sebelum beraksi di Liga Malaysia.