Kedai burger IShowSpeed menjadi sensasi di media sosial apabila berjaya membuat bintang YouTuber naik ‘gila’ selepas gigitan pertama burger special yang ditawarkan.
Oleh kerana populariti kian melonjak, kedai burger terbabit telah didatangi jumlah pelanggan yang ramai pada saban hari.
Siapa sangka kedai burger yang telah menaikkan nama Malaysia di platform internet kini sudah menemui pengakhirannya?
Tular sebuah video di TikTok yang memperlihatkan kedai burger yang terletak di kaki lima LRT Bangsar itu telah pun disita oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Di dalam video itu, tapak penjualan burger sudah diserbu oleh pihak DBKL dan barangan telah disita menerusinya pada awal pagi semalam.
Selain itu, kelihatan van dan trak milik DBKL yang diparkir pada sisi jalan yang dipercayai untuk mengambil barangan dan kiosk burger terbabit.
@foodyfun5 Stall burger ramli yang terkenal selepas IshowSpeed makan, kini di sita penguatkuasa #ishowspeed #burger #foodvalley #naya
Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih apabila kedai burger IShowSpeed itu tidak dapat beroperasi lagi walhal sudah mengharumkan nama negara di persada dunia. Malah, ada yang mempercayai perkara itu boleh terjadi kerana ada individu yang dengki dengan kejayaan kedai itu.
Sementara sebahagian lain merasakan tindakan tersebut mungkin diambil atas dasar tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk penjaja jalanan.
Dalam pada itu, pemilik kedai burger berkenaan telah mengesahkan bahawa kedai mereka terpaksa tutup sementara ekoran telah disita oleh pihak DBKL menerusi Instagramnya.
Dia sempat berterima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan selama ini dan akan mengemas kini sebarang info kedainya dari semasa ke semasa.