Pada beberapa hari lalu warganet meluahkan rasa kurang senang apabila ada kedai nasi lemak terkenal di Kampung Baru mengenakan caj RM1 bagi menggunakan bilik yang mempunyai aircond.
Bagaimanapun menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kedai nasi lemak itu tidak melakukan kesalahan kerana sudah mempamerkannya di pintu masuk, petik Harian Metro.
Baca Juga:
- Didakwa Tiru Budaya Indonesia, Netizen Tak Puas Hati Tempat Makan Kenakan Caj ‘Aircond’
- Pemandu e-Hailing Paksa Bayar Caj Tambahan Untuk Hidupkan ‘Aircond’ Terima Kecaman Netizen
- Bil Eletrik Mahal, Ini 5 Tip Mudah Cara Menggunakan ‘Aircond’ Dengan Betul Dan Jimat
“Sepasukan anggota penguat kuasa dihantar ke lokasi restoran nasi lemak terkenal itu yang terletak di Kampung Baru.
“Hasil pemeriksaan mendapati harga bagi makanan, minuman serta caj perkhidmatan mematuhi dasar harga terangkum seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, pemeriksaan lanjut anggota penguat kuasa mendapati caj perkhidmatan bagi bilik berhawa dingin dikenakan kepada pelanggan dewasa adalah RM1 bagi setiap orang manakala tiada caj dikenakan kepada kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan ke bawah.
“Pemerhatian anggota penguat kuasa juga mendapati notis caj RM1 dipamerkan dengan jelas di kawasan pintu masuk serta di cermin bilik berhawa dingin yang mudah dilihat oleh pelanggan.
“Pekerja premis juga akan memberitahu terlebih dahulu kepada pelanggan yang ingin masuk ke dalam bilik berhawa dingin berkenaan,” katanya.
Pekerja restoran memaklumkan bahawa caj RM1 ini dikenakan kepada pelanggan sejak tiga tahun yang lalu. Setiap pelanggan yang menggunakan bilik aircond itu akan menerima resit sebagai bukti pembayaran.
“Pemeriksaan di bilik makan berhawa dingin mendapati penghawa dingin berfungsi dengan baik dan pelanggan yang menggunakan bilik itu maklum mengenai caj yang dikenakan serta tiada aduan dalam perkara ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati pematuhan tanda harga dan caj di restoran ini adalah jelas dan tiada kesalahan yang dikesan mengikut perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak KPDN,” katanya.
Memetik laporan itu lagi, pihak kedai nasi lemak tersebut mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan hantaran viral itu sebagai langkah menjaga nama baik restoran berkenaan.