Bola Sepak Indonesia kembali mendapat perhatian selepas salah seorang pemain skuad B-17 Tahun negara itu diberi nama mengikut salah seorang pemain terbaik di dunia iaitu Lionel Messi.
Nova Arianto yang diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih telah memanggil seramai 32 pemain bagi menjalani sesi pemilihan dan ujian untuk mewakili negara itu dalam saingan kelayakan AFC B-17 Tahun.
Dalam senarai pemain yang dikeluarkan, ada satu pemain yang menarik perhatian iaitu Lionel Messi Al-Fachri yang merupakan pemain muda yang beraksi di posisi pertahanan.
Nama beliau serta-merta menjadi sebutan peminat bola sepak negara itu kerana sama dengan bintang Inter Miami dan juga ketua pasukan skuad kebangsaan Argentina.
Sebelum ini, seorang kanak-kanak di negara itu viral di laman media sosial kerana diberi nama yang menggabungkan dua legenda AS Roma iaitu Francesco Totti dan Daniele De Rossi.
Malah, media di Itali membuat liputan mengenai kanak-kanak ini yang mana mereka terkejut ada ibu bapa yang tidak tinggal di Itali tetapi memberi nama anak mereka Totti De Rossi.
“Semangat peminat Roma merentasi semua sempadan dengan peminat di seluruh dunia meraikan kejayaan AS Roma. Begitulah yang terjadi di Indonesia.
“Di sana ada sepasang ibu bapa yang memilih untuk memanggil anak mereka [sebagai] “Totti De Rossi”, satu isyarat yang membuktikan ikatan yang mendalam dengan dua legenda pasukan Giallorossi itu.
“Walaupun nama seperti “Francesco” atau “Daniele” juga sangat biasa di kalangan peminat tempatan di dalam dan sekitar ibu kota Itali, adalah mengejutkan untuk melihat seorang kanak-kanak, yang tinggal 11,000 km dari Rom, mempunyai nama ikonik seperti itu,” dipetik dari Roma Press.
Menamakan anak sempena pemain legenda di Eropah bukanlah satu perkara asing di Indonesia dimana ada beberapa pemain dalam skuad B-20 Tahun negara itu yang mengambil nama pemain legenda.
Pemain yang dimaksudkan ialah Alfharezzi Buffon, Figo Dennis, Arkhan Kaka dan seorang pemain yang beraksi bersama skuad B-23 Tahun iaitu Beckham Putra.