Jepun terlepas peluang untuk meneruskan rentak kemenangan bersih selepas terikat 1-1 bertemu Australia pada aksi keempat kumpulan C Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Saitama 2022 sebentar tadi.

Dibarisi skuad terbaik yang meraih tiga kemenangan sebelum ini, Jepun dilihat sedikit bergelut untuk mencipta peluang berbahaya ke arah pintu gol lawan walaupun mendominasi permainan.

Baca Juga:

Manakala, barisan pemain pertahanan Australia pula cukup berdisiplin dengan taktikal ‘park the bus’ kerana sedar ancaman berbahaya bakal dijelmakan Jepun.

Ia jelas dibuktikan apabila tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai aksi kedua-dua pasukan pada babak pertama.

Dalam Jepun cuba untuk memberikan tekanan buat Australia, skuad kendalian Tony Popovic berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-58.

Gol pembukaan itu terhasil selepas usaha pemain pertahanan, Shogo Taniguchi untuk mematahkan hantaran lintang Luis Miller tidak membuahkan hasil malah bola masuk ke gawang sendiri.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Jepun melakukan tiga pertukaran apabila memasukkan Junya Ito, Keito Nakamura dan Daichi Kamada bagi menggantikan Ritsu Doan, Takefusa Kubo serta Takumi Minamino.

Impak pantas hasil pertukaran dilakukan Hajime Moriyasu itu jelas kelihatan selepas Nakamura melakukan gerakan pantas di sebelah kanan pintu gol Australia dan hantaran lintangnya membias terkena Cameron Burgess untuk kedudukan kembali terikat pada minit ke-76.

Jaringan itu menyemarakkan lagi semangat pemain tuan rumah bagi menambah jaringan tetapi jentera pertahanan Australia kental bertahan untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan seri itu bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Jepun selaku pendahulu kumpulan dengan 10 mata manakala Australia di tangga kedua selepas mengumpul lima mata.

Kedudukan Australia itu akan berubah sekiranya terdapat pemenang pada perlawanan Arab Saudi menentang Bahrain atau Indonesia menundukkan China.