China meraih kemenangan sulung dalam kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas berjaya menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi keempat kumpulan C yang berlangsung di Qingdao Youth Football Stadium, sebentar tadi.
Keputusan yang sekali gus menamatkan rentetan tiga kekalahan dialami skuad kendalian Branko Ivankovic itu dimana sebelum ini mereka dikecewakan oleh Jepun (0-7), Arab Saudi (1-2) dan Australia (1-3).
Baca Juga:
- Indonesia vs Bahrain: Hasrat Raih Kemenangan Pertama Garuda Tidak Kesampaian
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Maarten Paes Cemerlang Pastikan Indonesia Ikat Australia
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Indonesia Ikat Arab Saudi 1-1
Manakala, ini pula merupakan kekalahan pertama buat Indonesia selepas tiga keputusan seri dicatatkan sewaktu bertemu Arab Saudi (1-1), Australia (0-0) dan Bahrain (2-2).
Meskipun mendominasi sebahagian besar permainan, Indonesia gagal untuk menjelmakan banyak percubaan berbahaya ke arah pintu gol China yang dikawal oleh Wang Dalei.
Jentera pertahanan tuan rumah yang diketuai Jiang Shenglong dan Tyias Browning juga cukup kental bertahan menyerap asakan diberikan Indonesia.
Sebaliknya, China yang sesekali mendapat peluang mengambil kesempatan di atas kealpaan jentera pertahanan Indonesia untuk meraih kemenangan.
Ia jelas dibuktikan apabila berpunca daripada kesilapan Ivar Jenner dan Shayne Pattynama dalam kawasan penalti yang menyangka bola akan keluar telah dirampas oleh Shenglong untuk melakukan ‘cutback’ kepada Baihelamu Abuduwaili.
Baihelamu yang tidak dikawal pertahanan lawan dengan tenang menolak masuk bola untuk meletakkan China dihadapan pada minit ke-21.
Berselang enam minit kemudian, kesilapan hantaran pertahanan Indonesia hampir dihukum China, namun rembatan terus daripada luar kawasan penalti oleh Xie Wenneng diselamatkan penjaga gol, Maarten Paes.
Indonesia mendapat peluang pada minit ke-40 menerusi Calvin Verdonk tetapi percubaan padu dilepaskannya ditepis keluar Dalei bagi menyelamatkan gawangnya.
Kem China sekali lagi melonjak kegembiraan pada minit ke-44 selepas lorongan cantik Gao Zhunyi terus kepada Zhang Yuning yang tidak mensia-siakan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Indonesia kemudiannya menggandakan asakan untuk merapatkan defisit jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil ketika permainan memasuki minit ke-86.
Berpunca daripada lontaran ke dalam yang begitu jauh dilakukan pemain gantian, Pratama Arhan tidak berjaya dikeluarkan dengan baik pertahanan China telah memberikan ruang kepada Thom Haye untuk menewaskan Dalei.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan anak buah Shin Tae-yong bagi mendapatkan gol penyamaan tetapi China kental bertahan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.