Jepun memulakan kempen Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2024 dengan penuh bergaya selepas tidak berdepan masalah untuk membelasah China 7-0 di Saitama Stadium, sebentar tadi.
Diperkuatkan dengan kehadiran pemain-pemain seperti Kaoru Mitoma, Takumi Minamino, Wataru Endo dan Takefusa Kubo nyata memberikan kesukaran buat China sepanjang perlawanan.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia: Senarai 18 Pasukan Layak Ke Pusingan Ketiga
- Kelayakan Piala Dunia: Palestine Cipta Sejarah Mara Ke Pusingan Ketiga
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Suka Dalam Duka Malaysia Atasi Chinese Taipei
Ia jelas dibuktikan apabila Jepun hanya memerlukan 12 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Endo yang menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru diambil Kubo.
Dominasi di bahagian tengah juga amat jelas terserlah dengan Jepun cukup tenang menguasai sebahagian besar permainan.
Minamino dan Hidemasa Morita mendapat peluang untuk menambah jaringan tetapi percubaan mereka hanya sedikit tersasar.
Kehampaan itu ditebus Mitoma yang menanduk masuk bola pada masa kecederaan babak pertama selepas pemain Brighton tersebut menerima hantaran lintang cantik daripada Ritsu Doan.
Minamino meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-52 selepas gerakan solonya dalam kawasan penalti disudahkan dengan ‘placing’ cantik untuk menewaskan penjaga gol China, Wang Dalei.
Berselang enam minit kemudian, Minamino terus membuktikan kemampuan hebatnya apabila beliau sekali lagi mempamerkan kelincahan dalam kawasan penalti dan percubaannya menghadiahkan jaringan keempat buat Jepun.
Tidak cukup dengan kelebihan besar dimiliki, Jepun menambah gol kelima selepas percubaan pemain gantian Junya Ito terkena kaki pemain pertahanan China, Tyias Browning lalu bola masuk ke gawangnya sendiri pada minit ke-77.
Ia nyata masih belum cukup buat Jepun yang kemudiannya berjaya menambah dua lagi jaringan ketika memasuki minit ke-87 menerusi tandukan Daizen Maeda dan percubaan padu Kubo pada masa kecederaan untuk terus menambah derita China.
Kemenangan selesa yang dicatatkan meletakkan skuad kendalian Hajime Moriyasu tersebut ditangga teratas dengan kelebihan perbezaan jaringan berbanding Bahrain.
Bahrain turut memulakan kempen dengan langkah kanan selepas mencipta kejutan menundukkan Australia 1-0 di Gold Coast hasil jaringan sendiri Harry Souttar pada minit ke-89.
Satu lagi aksi dalam kumpulan C bakal berlangsung awal pagi esok dimana Arab Saudi bakal menerima kunjungan satu-satunya wakil Asia Tenggara, Indonesia di King Abdullah Sports City, Jeddah.