Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon enggan lepaskan peluang untuk membantu mencipta sejarah baharu dengan menewaskan Taiwan pada aksi kedua Kumpulan DÂ kelayakan Piala Dunia 2026 malam esok.
Berdasarkan rekod, Malaysia tidak pernah menang di tempat lawan dan tewas dalam tiga perlawanan terakhir di gelanggang Taiwan sejak tahun 2000 termasuk yang terbaharu tunduk 0-2 pada aksi persahabatan pada September 2018.
Baca Juga:
- Kim Pan Gon Kekal Sebagai Pengendali Harimau Malaya Sehingga 2025
- Ranking FIFA: Harimau Malaya Lonjak Di Ranking Ke-130 dunia
- Menteri Harap FAM Jual Tiket ‘Harga Rahmah’ Kepada Penyokong Harimau Malaya
Bagaimanapun, Kim Pan Gon menegaskan skuad Harimau Malaya kali ini berwajah baharu dan anak buahnya sedia tampil aksi terbaik untuk membawa pulang tiga mata.
“Sejarah adalah sejarah, kami pasukan baharu, jurulatih baharu dan saya fikir ini pertembungan yang baharu. Seperti saya katakan, kami menghormati Taiwan dan kami juga menghormati sejarah.
“Namun, kami mahu mencipta sejarah baharu dan kami mempunyai impian untuk melangkah ke pusingan seterusnya. Jadi, untuk mencapainya kami harus berjuang mendapatkan tiga mata esok,” katanya dipetik dalam Berita Harian.
Menurut Kim Pan Gon, Taiwan yang berada di ranking 157 dunia tidak boleh dipandang rendah walaupun mereka tewas 0-3 kepada Oman ketika perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Kalau kami tidak mampu menewaskan Taiwan, kami tak layak mara ke pusingan seterusnya.
“Rekod Taiwan di tempat sendiri cukup baik dibawah jurulatih baharu tetapi kalau kami gagal menewaskan mereka, kami tak layak berada dalam kelompok 18 terbaik Asia,” tegas Kim Pan Gon.
Pan Gon turut menjelaskan bahawa pasukan kejurulatihan sudah melakukan analisis terhadap skuad Taiwan dan berharap maklumat yang diperoleh dapat membantu Harimau Malaya meraih kemenangan.
“Pasukan analisis kami mempunyai maklumat termasuk berkenaan pemain naturalisasi Taiwan dan juga beberapa pemain mereka beraksi di China.
“Pemain Taiwan sangat berdisiplin, bekerja keras selain turut memiliki fizikal yang baik. Segala maklumat yang ada kami akan gunakan untuk perlawanan esok dan berharap ia dapat membantu kami mendapat tiga mata,” katanya.