Kemenangan 3-1 dicatatkan ke atas Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi masih belum cukup untuk membawa Malaysia ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Kedudukan ketiga kumpulan D itu sekali gus menyaksikan anak buah Kim Pan-gon semakin sukar untuk mara secara automatik ke Piala Asia 2027 dan terpaksa melalui pusingan kelayakan.
Ketika lapan jaringan diperlukan untuk cuba menyaingi kedudukan Republik Krygyz, skuad negara dilihat cukup bergelut pada 45 minit pertama untuk mendapatkan jaringan.
Ia jelas dibuktikan apabila duo pemain lincah, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid mensia-siakan beberapa peluang terhidang.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh pasukan pelawat untuk membuka tirai jaringan menerusi Yu Yao-hsing ketika aksi memasuki minit ke-20.
Gol Chinese Taipei itu berpunca daripada hantaran lolos Ange Kouame yang mencari Yao-hsing lalu beliau mudah menewaskan penjaga gol Malaysia, Azri Ghani.
Kemasukan Sergio Aguero pada babak kedua memberikan idea lebih segar buat jentera serangan Malaysia dan hampir membuahkan hasil pada minit ke-49. Namun, jaringan Akhyar dibatalkan kerana beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Kehampaan itu ditebus empat minit kemudian apabila percubaan Safawi dari luar kawasan penalti setelah menerima umpanan Aguero gagal diselamatkan dengan baik penjaga gol, Chieh Pan-Wen untuk kedudukan kembali terikat.
Paulo Josue kemudiannya meletakkan Malaysia dihadapan pada minit ke-69 selepas beliau menolak masuk bola setelah menerima hantaran daripada La’vere Corbin-Ong.
Pemain yang membuat penampilan kedua bersama skuad negara, Adib Ra’op mendapatkan jaringan sulungnya pada lewat aksi untuk Malaysia mengesahkan kemenangan 3-1.