Keluang Man adalah sebuah siri animasi televisyen yang bersiaran sejak dari tahun 1996 lagi. Kebanyakan orang dewasa kini kebanyakannya membesar dengan siri komedi yang diilhamkan oleh Kamn Ismail bersama dengan pasukan pengasasnya.

Siri yang pernah menjadi sebahagian daripada kenangan masyarakat di Malaysia ini dikatakan bakal membuat kemunculan semula. Ini berdasarkan ciapan seorang pengguna media sosial @Topanesta di laman Twitter miliknya.

Dia memuat naik sebuah video yang dipercayai trailer rasmi siri animasi komedi terbabit yang berdurasi sekitar 26 saat. Ciapan terbabit terus mendapat perhatian netizen yang kebanyakannya menunggu watak adiwira anak tempatan ini dibangunkan semula.

https://twitter.com/Topanesta/status/1371711295859302401

Bagaimanapun, tidak pasti adakah video ini asli atau pun hanya sebuah video yang dihasilkan oleh peminat siri Keluang Man. Tetapi melihat kepada kandungan video terbabit, sudah pasti mengimbau memori serta pengalaman membesar bersama siri Keluang Man.

Untuk pengetahuan anda, jalan cerita Keluang Man bukanlah seperti adiwira yang sering kita tonton. Keluang Man tidak mempunyai kuasa, tetapi wataknya dibangunkan dengan naluri dan sikap kejujuran yang kuat. Dia juga seorang adiwira yang periang dan dianggap gila kerana menetap di Hospital Bahagia Tumpoi.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Keluang Man dikatakan bakal membuat kemunculan semula, beberapa tahun lalu berita sama turut dilaporkan dengan Keluang Man bakal tampil dalam bentuk filem oleh pengarah Rizal Halim. Namun pada 2018, Rizal mengambil keputusan untuk menarik diri daripada projek terbabit.

Pencipta animasi Keluang Man dan Usop Santorian meninggal dunia. Klik pautan di bawah untuk membaca.

Pencipta Animasi Keluang Man Dan Usop Santorian Meninggal Dunia