Pasar Borong Kuala Lumpur direkodkan sebagai pasar borong terbesar di negara ini. Sebelum ini, pasar ini telah dikuasai oleh golongan asing yang berkerja disana. Namun semuanya mula berubah apabila dua kes COVID-19 telah dicatatkan di sana pada 2 April lalu dan kini warga asing sudah tidak dibenarkan untuk bekerja di sana lagi.
Melalui larangan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan merancang untuk membuka peluang pekerjaan kepada para belia yang kehilangan kerja atau yang mengganggur dengan gaji sebanyak RM2,400.
Sebelum itu, ratusan pekerja asing telah ditahan dalam serbuan besar-besaran yang berlaku di kawasan tersebut pada 11 Mei lalu. Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyatakan di dalam laman Facebook semalam bahawa pekerja diperlukan di Pasar Borong Kuala Lumpur setelah pekerja asing ditangkap.
“Kami sedang memikirkan untuk membawa belia kita untuk bekerja dengan kaedah baharu, dalam suasana lebih baik dengan keperluan tempat tinggal dan pengangkutan akan diatur, terutamanya apabila pasar borong moden siap diubah suai.”
Annuar turut menambah bahawa sebelum ini gelandangan ditawarkan gaji sekitar RM1,400 hingga RM1,600 dalam sektor perkilangan dan Kementerian Wilayah Persekutuan telah berunding gaji sehingga RM2,400 kepada mereka yang mahu bekerja di pasar borong.
Kementerian dilaporkan telah mengenal pasti beberapa tempat di Kuala Lumpur yang sesuai untuk dibina kafetaria, gazebo, kedai kecil serta perhentian bas dan stesen LRT untuk memberi peluang perniagaan kepada orang muda.
“Kementerian juga merancang untuk menawarkan skim ‘sewa dan beli’ untuk golongan B40 yang berumur di bawah 35 tahun bagi memiliki rumah pertama mereka,” katanya.
Skim ini adalah di mana 1,000 unit rumah akan ditawarkan kepada golongan muda dengan sewa bulanan berharga RM800 hingga RM850 sementara mereka menunggu rumah mampu milik berharga RM200,000 dan ke bawah siap dibina.
Berikut adalah laporan lain mengenai tawaran kerja dari agensi lain, klik pautan di bawah untuk membaca.
Tawar Gaji Sehingga RM100,000, Syarikat Ini Sedang Cari Pekerja Hanya Untuk Tidur
Lambakan Parcel Ketika PKP, Pos Laju Tawar Kerja Dengan Komisyen Mencecah RM6,000
Wanita Yang Dipecat Kerana Belasah Pencuri Ditawar Kerja Oleh Presiden UFC