Apabila kita sebut Petronas, automatik kita teringatkan sebuah syarikat minyak & gas gergasi tempatan yang berpengkalan di menara berkembar Petronas ibu kota Kuala Lumpur.

Tahukah anda Petronas mempunyai lagu korporatnya sendiri, pasti tidak bukan?

Baca Juga:

Sempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan syarikat tempatan tersebut pada tahun ini, Petronas berkongsi kisah mengenai individu yang bertanggungjawab menghasilkan lagu korporat ‘Petronas Maju Jaya’.

Individu yang sama itu juga bertanggungjawab menguruskan pekerja Petronas yang berada di seluruh Malaysia untuk berpindah masuk ke menara berkembar ikonik Petronas pada awal tahun 1998.

Menurut Datuk Abdullah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Che Lah, beliau dijemput untuk menyertai Petronas pada tahun 1979 sebagai Ketua Unit Pengambilan.

“Semasa menara berkembar Petronas belum dibina, para pekerja berada di serata Kuala Lumpur dan Malaysia.

“Jadi saya terfikir sebagai salah satu cara untuk menginspirasikan rasa kepunyaan Petronas di kalangan pekerja, saya mendapat idea untuk mencipta lagu korporat.

“Pada ketika itu, kerajaan Malaysia mengutamakan polis ‘Pandang ke Timur’ dengan melihat Jepun sebagai sumber inspirasi,” kata Che Lah.

Tambah beliau, syarikat-syarikat Jepun akan meminta para pekerja untuk menyanyi dan bersenam bersama-sama setiap awal pagi sebelum mula bekerja.

Selepas idea lagu korparat itu diusulkan kepada pihak pengurusan, mereka bersetuju untuk membuat satu untuk Petronas.

Pertandingan mencari lirik pun bermula di kalangan para pekerja Petronas pada waktu itu. Che Lah sendiri turut serta pertandingan tersebut dengan menghantar dua set lirik.

“Lirik pertama saya hantar adalah versi pantun, atau lebih kepada gabungan syair dan gurindam. Sementara lirik kedua pula adalah sajak,” katanya.

Sumber Gambar: YouTube Petronas

Semasa hari pemilihan lirik, pihak pengurusan memilih lirik versi pertama.

Selesai bab lirik, pemilihan lagu pula perlu dibuat. Che Lah menghubungi Dato’ Johari Salleh, Pengarah Muzik RTM pada ketika itu.

Namun Dato’ Johari berkata lagu korporat bukanlah forte beliau. Jadi beliau meminta Che Lah menghubungi DSP Alias Arshad, Pengarah Muzik Pancaragam PDRM.

Sumber Gambar: YouTube Petronas

DSP Alias terus menganjurkan pertandingan mencipta muzik di kalangan pasukannya.

Muzik-muzik itu disaring oleh sekumpulan panel, tiga muzik teratas dipilih sebelum muzik terbaik diperdengarkan kepada pihak pengurusan Petronas pada ketika itu.

“Pihak pengurusan sebulat suara untuk memilih komposisi muzik daripada Inspektor Hishamuddin Haji Sulaiman.

“Kemudian kami satukan lirik dan muzik yang dinyanyikan oleh pekerja Petronas sendiri. Mereka semua daripada pelbagai jabatan kerani, setiausaha dan eksekutif — semua orang terlibat,”

“Semasa kami menyanyikan lagu itu buat pertama kali di hadapan pengurus kanan pada waktu itu, mereka sangat gembira. Kami merupakan syarikat tempatan terawal yang mempunyai korporat sendiri,” kata Che Lah penuh bangga.

Bagaimanapun, terdapat seorang pengurus kanan mempersoalkan lirik lagu itu terlalu berimpian tinggi dan besar, walhal Petronas pada ketika itu baru bertapak.

Dengan penuh hormat, Che Lah menjawab lagu itu satu cara untuk menginspirasikan para pekerja dan bekerja menjadi syarikat global satu hari nanti.

Selepas menara berkembar Petronas siap dibina, Datuk Abdullah Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpindahan yang bertanggungjawab proses pindah masuk ke pejabat baharu di menara berkembar Petronas dengan lancar.

Sumber Gambar: YouTube Petronas
Sumber Gambar: YouTube Petronas

Bagaimanapun timbul satu masalah daripada pelbagai jabatan dan unit bisnes yang berasa serba salah untuk berpindah.

“Ada yang bertanya kepada saya — Che Lah, adakah benar tempat itu berhantu?

“Saya jawab — Ya, tapi jangan bimbang, sebab saya lebih hantu daripada hantu,” jawab Che Lah sambil diiringi gelak-tawa panjang.

Semua pekerja diberitahu ketika berpindah nanti pejabat baharu masih belum sempurna 100%. Ketika mereka berpindah, tempat kerja masing-masing sudah siap disediakan walaupun terdapat sedikit kekurangan.

Bagaimanapun tiada sebarang aduan didengari daripada pekerja yang baru berpindah masuk ke tempat baharu itu.

Sempena Jubli Emas tahun ini, Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) telah diberikan peluang untuk memberikan ‘nafas baharu’ kepada lagu korporat, Petronas Maju Jaya.

MPO dan kumpulan Koir Kebangsaan mengadakan persembahan kejutan buat Datuk Abdullah dan Jawatankuasa Perpindahan.

Jawatan terakhir yang dipegang Che Lah sebelum pencen adalah Pengarah Seni dan Budaya. Beliau percaya dengan memberi sokongan dan dokongan kepada seni adalah satu cara Petronas untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Saya sangat bersyukur lirik lagu yang saya tulis masih dinyanyikan oleh lebih 50,000 pekerja Petronas di serata dunia. Saya harap ia masih menginspirasikan para pekerja,” ujar Che Lah.