Kementerian Luar Negeri Malaysia telah mengeluarkan notis segera kepada rakyat Malaysia yang berada atau melancong ke United Kingdom agar menjauhi protes anti-imigran yang sedang berlaku di seluruh negara tersebut.
Protes ini disifatkan sebagai rusuhan terburuk di UK dalam tempoh 13 tahun.
Menurut kenyataan Kementerian, mereka sedang memantau rapat siri protes tersebut melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
Insiden ini tercetus berikutan kejadian tikaman di Southport pada 29 Julai lalu.
Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia agar menjauhi kawasan protes, sentiasa berwaspada, dan mengikuti perkembangan terkini serta panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Kementerian juga menggesa rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk segera berbuat demikian bagi memastikan mereka menerima maklumat dan bantuan tepat pada masanya.
Maklumat Perhubungan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London:
– Alamat: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, 45 – 46 Belgrave Square, London, United Kingdom
– Nombor Telefon: +44 20 3931 6196, +44 20 7235 8033
– E-mel: [email protected]
Menurut laporan CNA, rusuhan bermula apabila 3 gadis meninggal dunia dan 10 orang lain cedera pada 29 Julai, termasuk 5 kanak-kanak dan 2 dewasa yang berada dalam keadaan kritikal, selepas serangan tikaman di Southport oleh seorang suspek berusia 17 tahun, Axel Rudakubana dari Cardiff, Wales.
Namun, menurut Al-Jazeera, golongan kanan di UK telah mengambil kesempatan ke atas serangan tersebut dan menjadikannya sebagai protes anti-imigrasi dengan menyebarkan maklumat palsu bahawa suspek adalah seorang imigran Muslim.
Rusuhan ini kemudian merebak ke seluruh UK, dengan pertempuran antara polis dan beberapa himpunan menyebabkan kerosakan dan kecederaan.
Rakyat Malaysia dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang berada di UK untuk memastikan keselamatan diri masing-masing.