Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima kunjungan bekas juara dunia Ultimate Fighting Champion (UFC), Khabib Nurmagomedov semalam.

Menerusi satu hantaran di laman media sosial HRH Crown Prince of Johor, baginda turut berkongsi gambar pertemuan itiu.

Baca Juga:

Baginda bertitah, antara topik pertemuan itu membincangkan program pembangunan belia dan cadangan membuka gimnasium latihan rasmi Khabib di negeri itu.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Khabib Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight pada hari ini, 1 Oktober 2024.

“Antara topik perbincangan adalah mengenai program pembangunan belia dan cadangan membuka gimnasium latihan rasmi Khabib di negeri Johor. Allah Peliharakan Sultan,” titahnya menerusi hantaran itu.

FOTO: Facebook HRH Crown Prince of Johor

Lagenda UFC itu tiba di Malaysia sejak beberapa hari lepas bagi menghadiri Program Khabib Nurmagomedov Live in Malaysia 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Turut hadir dalam program itu jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali sebagai panel undangan dan Alif Satar sebagai moderator.

Khabib juga menjemput Johan berlatih di gimnasiumnya di Dagestan, Russia sekiranya mahu beralih angin ke MMA (seni bela diri campuran).

“Saya mengenalinya menerusi acara ini dan tahu dia masih muda. Saya juga tahu dia adalah petarung yang baik dan saya mengucapkan yang terbaik untuknya di masa depan, Insya-Allah,” kata Khabib.

“Dia memberitahu saya yang dia mahu ke MMA. Apabila dia sudah selesai (dalam ONE Championship) dan mahu ke MMA, dia sentiasa dialu-alukan di Dagestan di gimnasium saya, berlatih bersama kami, untuk meningkatkan tahap gustinya dia sentiasa dialu-alukan,” katanya.

Beliau kemudian bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana membincangkan isu berkaitan hal ehwal Islam, pembangunan ummah dan Palestin.