Legenda UFC dunia, Khabib Nurmagomedov dilaporkan sudah tiba di Malaysia bagi memenuhi jemputan ke acara anjuran Faith Events di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ini adalah penampilan sulung Khabib di Malaysia sejak memegang gelaran juara kelas lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC) yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod 29-0.

Baca Juga:

“Tidak mudah untuk meyakinkan Khabib untuk datang ke Malaysia disebabkan tugasnya sebagai jurulatih kepada petinju di bawah bimbingannya. Jadi nak dapatkan masanya untuk ke sini agak sulit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Faith Events, Khairul Amar Razali dipetik dalam Berita Harian.

Acara itu juga merupakan peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia terutama membabitkan peminat seni mempertahankan diri.

“Ini juga adalah peluang untuk membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan bagi saya ia akan membawa impak di peringkat global dan ia bukan saja kepada pengikutnya, namun seluruh dunia.”

Acara ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024’ turut melibatkan Alif Satar sebagai pengacara dan Johan Ghazali sebagai tetamu khas.

Selain itu, Khabib juga dijadualkan mengadakan pertemuan khas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terkenal sebagai sensasi UFC dunia, antara pertarungan paling terkenal membabitkan Khabib adalah ketika bertemu petarung Ireland, Conor McGregor dalam aksi UFC 229 pada Oktober 2018.

Kemenangan itu diteruskan apabila dia menewaskan lawannya dari Amerika Syarikat, Dustin Poirier pada September 2019 dalam saingan UFC 242.

Pada 2020, Khabib mengumumkan persaraannya selepas pertarungan menentang Justin Gaethje pada saingan UFC 254 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu.