Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad bersuara mengenai isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh KL City ketika ini.

Dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini, Khalid menegaskan permainan politik sesetengah pihak menjadi punca mengapa skuad ibu kota itu berada dalam situasi terumbang-ambing.

Baca Juga:

“Kita telah minta wang dari penaja utama kita iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum saingan musim ini bermula. Akan tetapi saya mendapat maklumat bahawa wang tidak akan diserahkan selagi saya bergelar presiden KLFA.

“Maka dengan itu, pada bulan Mac saya telah letak jawatan sebagai presiden. Langkah ini saya ambil kerana nak pastikan duit masuk, gaji pemain dibayar dan lesen kelab tidak ditarik balik.

“Kemudian surat sokongan penuh dari DBKL dikeluarkan dan selepas itu duit sebanyak RM3 Juta dimasukkan untuk selesaikan gaji musim lepas. Bukan gaji untuk tahun ini.

“Hingga saat ini, kelab belum dapat walaupun satu sen dari mereka. Saya dimaklumkan bahawa ada individu yang mahu menjadi presiden, tidak mendapat jawatan itu.

“Dan selagi mana Encik X ini tidak menjadi presiden, satu sen pun tidak akan diberikan kepada kelab. Atas sebab kepentingan politik, maka suasana dalam KL City menjadi semakin muram,” kata Khalid Samad.

Sebelum ini, ketua pasukan KL City, Paulo Josue mendedahkan kali terakhir beliau menerima gaji ialah pada Disember tahun lalu dan sampai sekarang masih belum mendapat gaji bagi saingan musim ini.

“Ada pemain KL City mengalami tunggakan gaji sejak Mac lalu namun situasi terbabit tidaklah seteruk saya kerana kali terakhir dibayar pada Disember tahun lalu.

“Ada yang mengatakan KL City hanya berhutang dua bulan saja. Itu adalah bohong dan boleh berjumpa atau bertanya saya untuk dapatkan kepastian.

“Tanyalah pemain lain sama ada gaji mereka dibayar penuh. Saya rasa perkara itu tidak berlaku,” katanya menurut laporan Harian Metro.