Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon memberikan sokongan dan doa bagi pemain sayap iaitu Faisal Halim agar cepat sembuh ekoran disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada Ahad lalu.

Menerusi laman media sosial miliknya, Pan-gon memuat naik gambar Faisal sambil menulis beliau berada bersama Faisal dalam mengharungi detik sukar yang dihadapi ketika ini.

Baca Juga:

“We all stand with you (kami berdiri bersama awak), Faisal!,” kata Pan-gon.

Kim Pan-gon tidak dapat untuk menggunakan khidmat Faisal bagi mengharungi kempen kelayakan pusingan kedua temasya Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 bulan depan dan masih belum jelas sama ada seorang lagi pemain iaitu Akhyar Rashid dapat bersama skuad kebangsaan atau sebaliknya.

Akhyar menjadi mangsa samun oleh dua individu bertopeng yang tidak dikenali ketika beliau berada di kediamannya di Kuala Terengganu.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, beliau telah meminta agar Kim Pan-gon segera memikirkan alternatif lain bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan dua pemain.

“Selepas kejadian yang berlaku, saya dah berbincang dengan Pan-gon dan memintanya agar segera memikirkan pelan alternatif bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal dan Akhyar. Mickey tidak akan bersama kita tapi status Akhyar masih samar.

“Saya pasti Kim sudah mempunyai bayangan pemain yang menurut beliau sesuai bagi memperkuatkan pasukan negara pada Jun ini. Kita akan menghadapi dua perlawanan penting yang akan menentukan nasib kita dalam kempen kelayakan kali ini,” katanya kepada Vocket FC.