Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkongsi perasaan beliau ketika pertemuan singkat beliau dengan Faisal Halim yang mengalami luka bakar ekoran disimbah asid baru-baru ini.
Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, beliau berasa sebak dan sukar menerima kenyataan selepas melihat keadaan dan situasi yang dialami oleh Faisal yang mana beliau mengalami luka melecur tahap empat.
Baca Juga:
- Cap Jari Di Lokasi Simbah Asid Faisal Halim Tiada Rekod Dalam JPN
- TERKINI: Faisal Halim Dibenarkan Pulang Dari Hospital
- Peminat Selangor Lancarkan Petisyen, Mahu Keadilan Untuk Faisal Halim
“Kejadian itu adalah satu perkara yang sukar untuk dilupakan. Bukan mudah untuk saya melihat Faisal (dari luar bilik) dalam kesakitan seperti itu dan tiada kata-kata yang boleh saya ungkapkan penderitaan ditanggung Faisal.
“Ketika melawatnya, saya tidak dapat melihat wajah dan badannya (secara dekat) kerana dalam keadaan yang kurang baik dan kami juga tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya dipetik dari laporan Kosmo.
Baru-baru ini, Kim Pan-gon mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan Jun ini.
Daripada senarai itu, Pan-gon telah mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain daripada skuad ketika menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.
Beberapa pemain terpaksa diketepikan kerana masalah kecederaan seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Azam Azmi Murad dan Romel Morales.
Antara pemain baharu yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra’op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.
Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.
Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.