Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berharap kontraktor menepati janjinya untuk menyediakan padang yang terbaik di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Oman malam esok.

Keadaan padang SNBJ terbongkar sejak semalam apabila pemilik akaun YouTube telah menerbangkan dron meninjau perkembangan terkini venue berkenaan sehingga kelihatan kesan tampalan rumput.

Baca Juga:

Rakaman Dron pada 23 Mac 2024

Bagaimanapun, Kim Pan-gon menjelaskan beliau belum melihat lagi gambar yang tular di media sosial dan berharap permukaan padang akan bertambah lebih pada hari perlawanan.

“Saya belum lihat lagi gambar itu. ‘Technician’ (Kontraktor) kata dia akan beri padang yang terbaik pada hari perlawanan. Dia telah berjanji kepada saya.

“Jadi, saya harap dapat melihat padang yang bagus pada hari esok,” kata Kim Pan-gon dalam sidang media.

Padang SNBJ dilaporkan dalam keadaan yang cukup teruk selepas dilanyak konsert Ed Sheeran bulan lepas sehingga dikecam hebat oleh pelbagai pihak.

Meskipun padang mungkin kelihatan tidak begitu cantik pada hari perlawanan, namun sokongan padu para penyokong setia tetap ditagih oleh Harimau Malaya dalam misi untuk mencapai kemenangan.

Skuad kendalian Kim Pan Gon itu tekad bangkit membalas dendam terhadap kekalahan 0-2 di Muscat pada jumaat lepas dengan mengutip sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

Ayuh! Sama-sama kita turun ke stadium memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya! Dapatkan segera tiket anda di laman web, tickethotline.com.my sekarang!