Di Paju, Korea Selatan, suasana kecoh berlaku apabila seorang pelarian dari Korea Utara mencuri sebuah bas dan cuba memandu pulang ke negara asalnya kerana mendapati hidup di Korea Selatan terlalu mencabar.

Insiden yang berlaku sekitar jam 1.30 pagi pada 1 Oktober itu menimbulkan tanda tanya ramai apabila lelaki tersebut memandu kenderaan itu menuju ke arah Jambatan Unifikasi — sebuah laluan yang menghubungkan Korea Selatan dan Korea Utara, tetapi dilarang untuk akses awam.

Menurut laporan SBS News, lelaki tersebut mencuri bas kampung yang diparkir di sebuah garaj tempatan setelah menyedari kunci bas dibiarkan di dalam enjin.

Beliau kemudian memandu kenderaan tersebut menuju ke Jambatan Unifikasi, yang merupakan salah satu laluan utama di kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Walaupun pihak berkuasa cuba menghentikannya, lelaki itu nekad dan merempuh sebuah penghadang di atas jambatan sebelum ditahan oleh pihak berkuasa.

Yonhap News melaporkan bahawa lelaki itu ditangkap serta-merta dan dibawa untuk siasatan lanjut.

Setelah dikenal pasti, lelaki tersebut merupakan pelarian Korea Utara yang berjaya melarikan diri kira-kira 10 tahun yang lalu.

Dia telah menetap di kawasan Sillim-dong, Seoul, selama ini.

Dalam sesi soal siasat, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu menyatakan bahawa kehidupan di Korea Selatan terlalu sukar untuk dihadapinya, hingga membuatkan dia ingin pulang semula ke Korea Utara.

“Saya mahu pulang ke Korea Utara,” ujar lelaki itu, yang mendakwa tidak mampu lagi bertahan dengan cabaran hidup di Selatan.

Polis telah menjalankan ujian dadah dan alkohol terhadap lelaki berkenaan, namun keputusan menunjukkan dia tidak berada di bawah pengaruh mana-mana bahan terlarang.

Lelaki itu kini sedang disiasat atas kesalahan mencuri dan pelbagai tuduhan jenayah lain.

Kisah ini bukanlah pertama kali berlaku.

Ramai pelarian Korea Utara yang mendapati kehidupan di Selatan lebih sukar daripada jangkaan mereka.

Menurut laporan Guardian pada Januari 2022, seorang lagi pelarian Korea Utara, Kim Woo-joo, telah kembali ke Korea Utara hanya setahun selepas melarikan diri.