Olimpik Paris 2024 menyaksikan para atlet berjuang bukan sahaja demi kemasyhuran, tetapi juga untuk membawa pulang salah satu pingat emas termahal dalam sejarah temasya sukan terbesar dunia ini, tetapi kualitinya seperti dibeli di pasar malam.
Menurut Forbes Australia, nilai yang dianggarkan untuk pingat emas Paris adalah sekitar AS$950 (RM4,250).
Ia mengatasi rekod terdahulu yang dipegang oleh Sukan Olimpik London 2012, di mana nilai pingat emas pada ketika itu adalah AS$708.
Menurut laporan itu, faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan nilai ini adalah harga emas yang melambung tinggi.
Namun, apa yang lebih menarik adalah pingat yang dianggap emas ini sebenarnya diperbuat daripada 95.4 peratus perak dengan berat 505 gram dan bakinya adalah emas.
Pingat perak pula adalah seberat 525 gram, pula dinilai pada AS$486 (RM2,174).
Bagi pingat gangsa, dengan nilai anggaran sekitar AS$13 (RM58), ia seberat 455 gram dan terdiri daripada 415.15 gram tembaga, 21.85 gram zink, serta 18 gram besi.
Kualiti Pasar Malam
Nyjah Huston, ikon papan selaju jalanan Team USA yang berjaya meraih pingat Olimpik pertamanya dengan membawa pulang gangsa mengkritik kualiti pingat tersebut.
Menurut laporan dari TMZ, Huston berkongsi di Instagram bagaimana pingat tersebut mula menunjukkan tanda-tanda lusuh.
“Pingat ini memang nampak hebat bila baru, tapi lepas kena kulit, kena peluh sikit dan bagi kawan-kawan pakai, pingat ini nampak macam tak berkualiti seperti yang kita sangka,” katanya.
“Ia nampak teruk! Malah bahagian depan pun dah mula terkopek sikit. Saya tak tahu. Pingat Olimpik, mungkin boleh tingkatkan kualiti sikit.”
Huston, yang merupakan legenda dalam sukan papan selaju jalanan, hanya mampu menduduki tempat ketujuh dalam Olimpik pertamanya di Tokyo pada 2021.
Bagi Huston, pingat Olimpik bukan sekadar perhiasan, tetapi lambang usaha dan dedikasi bertahun-tahun beliau dalam sukan ini.
Apabila kualiti pingat dipersoalkan, ini mencerminkan kekecewaan terhadap bagaimana penghargaan terhadap atlet diiktiraf.
Untuk rekod, Huston pernah memenangi 15 pingat emas X Games sebelum ini dan menambah lagi koleksi pingatnya pada musim panas, namun beliau hanya mampu memperoleh pingat gangsa di Olimpik Paris 2024.