Kuala Lumpur (KL) Thunder nyata sukar digugat dalam Sepak Takraw League (STL) 2024 apabila terus mendominasi persaingan dengan menjuarai Grand Prix (GP) Pulau Pinang, malam tadi.

Skuad kendalian Rosli Abd Rahman itu tampil cemerlang untuk menewaskan Perak Bison di pentas final malam tadi sekali meraih kejuaraan bagi empat GP berturut-turut.

Baca Juga:

Satu pencapaian hebat yang pastinya tidak mampu dikejar pesaing terdekat mereka seperti Perak Bison, Selangor Pistons dan Terengganu Turtles.

Malah, ia sudah cukup untuk menobatkan skuad himpunan pemain kebangsaan selaku juara keseluruhan STL 2024 meskipun masih berbaki satu lagi GP di Johor yang akan bermula pada 29 Oktober nanti.

Selepas berakhirnya empat GP yang berlangsung di Shah Alam, Kuala Terengganu, Ipoh dan Bayan Baru, KL Thunder jauh meninggalkan 11 pasukan lagi.

KL Thunder pada ketika ini mengumpul 128 mata, berkelebihan 51 mata dihadapan Perak Bison manakala Selangor Pistons meraih 63 mata.

Ini bermakna walaupun sekiranya KL Thunder tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan di Johor nanti dan Perak Bison pula muncul juara, ia masih belum cukup untuk mereka mengejar skuad yang dibarisi Syahir Rosdi, Zarif Marican Ibrahim Marican, Riezman Faizol,  Azlan Alias, Redwan Hakim, Amirul Zazwan Amir, Sirasak Anuloon dan Irwan Radzuan itu.

Sementara itu dalam perkembangan lain mengenai STL 2024 GP Johor, menarik untuk diperkatakan apabila KL Thunder akhirnya telah diundi bersama Perak Bison.

Satu lagi pasukan yang mengisi slot bagi kumpulan C itu ialah pasukan tangga keempat GP Pulau Pinang iaitu Terengganu Turtles.

Berikut merupakan senarai penuh undian kumpulan dalam saingan GP Johor yang bakal berlangsung di Arena Larkin, nanti:

Kumpulan A – Johor Tigris, KPT-MASUM Knights & Negeri Sembilan Antlers

Kumpulan B – Kelantan Warriors, Bomba Fighters & PDRM Defenders

Kumpulan C – Perak Bison, Terengganu Turtles & KL Thunder

Kumpulan D – Penang Black Panthers, Selangor Pistons & ATM Guardians