Pemain bintang Perancis, Kylian Mbappé mengakui prestasi beliau dalam temasya UEFA Euro 2024 adalah yang paling mengecewakan selepas pasukannya tewas di peringkat separuh akhir kepada Sepanyol.
Dua gol dari Dani Olmo dan Lamine Yamal nyata mengecewakan bekas juara dunia itu sekaligus impian Mbappe untuk memenangi kejohanan terbesar di Eropah itu tidak menjadi kenyataan.
Baca Juga:
- Euro 2024: Hampakan Perancis, Sepanyol Mara Ke Final
- Terlepas Baki Euro Ekoran Terjahan Keras, Pedri Maafkan Toni Kroos
- Euro 2024: Senarai Empat Pasukan Mara Ke Separuh Akhir
Pemain baharu Real Madrid itu hanya menjaringkan satu gol dalam edisi kali ini ketika Perancis seri 1-1 ketika aksi peringkat kumpulan menentang Poland.
“Dalam bola sepak hanya ada anda bagus ataupun tidak, dan kali ini saya beraksi dengan teruk. Euro kali ini adalah satu kegagalan bagi saya. Saya mahu menjadi juara Eropah tetapi tidak kesampaian.
“Selepas ini saya akan bercuti dan berehat. Selepas itu saya akan memulakan kehidupan baharu. Banyak yang saya harus lakukan selepas ini,” kata Kylian Mbappé.
Bintang muda sepanyol, Lamine Yamal jelas mencuri tumpuan pada perlawanan ini apabila jaringannya menjadikan beliau sebagai penjaring termuda dalam sejarah kejohanan.
Kemaraan itu turut memberikan ruang buat Sepanyol untuk muncul selaku pemenang terbanyak dalam sejarah penganjuran Euro selepas La Roja berkongsi tiga kejuaraan bersama Jerman.
Skuad kendalian Luis de la Fuente itu akan menunggu pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir yang melibatkan Belanda dan juga England.
Kali terakhir Sepanyol muncul juara Euro ialah pada edisi 2012 dimana mereka menewaskan Itali dengan keputusan 4-0 dalam perlawanan akhir.