Gerakan Tanah Air (GTA) mencalonkan tiga selebriti terkenal untuk bertanding di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof serta pelakon, penerbit dan pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nazri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Gagasan Bangsa masing-masing akan bertanding di Parlimen Port Dickson dan Sabak Bernam, atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Baca Juga:

Pencalonan mereka diumumkan semalam pada 2 November 2022, di Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA-PEJUANG.

Bukan itu sahaja, salah seorang pelakon dan pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando juga dicalonkan bagi Parlimen Tanjung Karang.

Memetik laporan, Eizlan mengatakan tanggungjawab yang dipegangnya itu adalah amanah yang berat untuk dipikul demi bangsa dan negara. Dia juga berharap pembabitannya di dalam dunia politik ini akan memberi manfaat kepada semua orang, terutama Parlimen Sabak Bernam yang diwakili olehnya.

Sebelum ini, Eizlan tidak mempunyai sebarang harapan untuk dicalonkan walaupun dilantik sebagai Ketua Penerangan Pejuang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tetapi dia akan berbuat sebaik mungkin demi bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Ahmad Idham juga menyifatkan amanah yang dipikulnya dalam dunia politik yang dicalonkan sekarang adalah tanggungjawab yang amat besar.

Ahmad Idham meluahkan rasa syukurnya di akaun Instagram miliknya kerana diberikan amanah yang besar sebagai calon P132 Parlimen Port Dickson oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad.

Menurut laporan, ketika ditanya mengenai penyertaan pertamanya dalam politik, beliau memetik jemputan Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan Mohamad Jani Ismail untuk bekerjasama dalam aktiviti untuk kanak-kanak istimewa di negeri tersebut.

“Saya aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi produk pendidikan khas, malah saya juga ada sekolah pendidikan khas,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham juga menambah, tidak ada selebriti lain yang memperjuangkan matlamat pendidikan khas untuk golongan kelainan upaya selain dia pada masa kini. Dia juga berharap agar rakyat boleh melihat ini adalah satu produk perjuangan yang nyata.

Menurut Ahmad Idham, berusia 48 tahun itu, sekiranya ditakdirkan kemenangan berpihak kepadanya, dia ingin membantu dalam menggiatkan semula Port Dickson sebagai destinasi pelancongan.

Seorang lagi selebriti yang tidak berniat untuk menyertai dunia politik ini, Lando berkata, sudah 16 kali dia mencuba untuk berjuang apabila dijemput oleh pejuang dan inilah satu-satunya peluang untuk melakukan perubahan terhadap sistem dan infrastruktur di negara ini khususnya di Selangor.

Menurut Lando juga, dia mahu melihat peniaga kecil di kawasan pesisir pantai merasai kesan limpahan sektor ekonomi. Dia akan berusaha untuk memajukannya di negara ini.

Sahabat perjuangan Lando di akaun Twitter milik Aminuddin Yahaya yang merupakan seorang aktivis organisasi Islam Malaysia dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengucapkan tahniah kepada Lando kerana terpilih sebagai calon P.095 Tanjung Karang bagi Gerakan Tanah Air.