Bekas pemain import pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Leandro Velazquez dilaporkan semakin hampir untuk menjadi pemain naturalisasi terbaru negara.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana segala proses yang diperlukan untuk menjadikan Leandro sebagai pemain naturalisasi sudah lengkap dan hanya menunggu pengumuman dari pemain itu.

Baca Juga:

Baru-baru ini, JDT mengumumkan mereka melepaskan beberapa pemain serta jurulatih sebagai langkah transformasi kelab bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Leandro merupakan salah seorang pemain import yang dilepaskan oleh pasukan dan masih belum pasti destinasi beliau bagi menghadapi saingan musim 2024/25.

“JDT ingin mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada barisan kejurulatihan, pemain dan kakitangan yang akan meninggalkan kelab.
Harimau Selatan sedang melakukan transformasi yang memperlihatkan kelab mengurangkan perbelanjaan sehingga 30-40% disebabkan keperluan untuk penstrukturan semula kewangan bagi memastikan kelangsungan jangka panjang kelab. Kelab telah membelanjakan sejumlah wang untuk projek bola sepak sepanjang enam hingga tujuh tahun ini.

“Antara yang meninggalkan kelab termasuk ketua jurulatih Esteban Solari, Rodrigo Barrios, Antonio Mateos, Antonio Gavilan dan Dr. Leandro Pinero dari barisan kejurulatihan. Pemain seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo juga akan meninggalkan kelab selepas lama berkhidmat untuk kelab.

“JDT juga ingin mengucapkan selamat maju jaya buat pemain yang akan dipinjamkan keluar seperti Oscar Arribas, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Haziq Nadzli. Luaskan Kuasamu Johor,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan pihak kelab.

Ketika ini, pasukan negara mempunyai beberapa pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula, Sergio Aguero dan yang terbaru Romel Morales.