Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia kini menghuni ranking keempat dunia, menurut ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan badminton Dunia (BWF).

Kedudukan terbaharu itu bermakna pemain dari Alor Setar, Kedah itu naik dua anak tangga daripada kedudukan keenam sebelum ini.

Baca Juga:

Berdasarkan rekod, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 tersebut telah raih dua gelaran pada tahun ini apabila menjuarai Terbuka Australia bulan Jun lalu dan juga Terbuka Thailand pada bulan Mei.

Beliau juga muncul sebagai naib juara Terbuka Malaysia Masters selepas tewas kepada Viktor Axelsen di final. Hasil keputusan ini telah membantu memperbaiki kedudukan rankingnya.

Selain itu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 berada di ranking ketiga dunia manakala beregu juara Terbuka Jepun, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani kekal di kedudukan ke-12 dunia.

Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah memperbaiki kedudukan ranking apabila naik satu anak tangga untuk menduduki ranking kesembilan dunia.

Manakala beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih berada dalam kalangan 10 terbaik dunia selepas kekal di kedudukan kesembilan.

Goh Jin Wei satu-satunya pemain perseorangan wanita negara yang berada dalam kelompok 50 terbaik dunia apabila berada di ranking 31 menurut BWF.