Seorang pelarian Iraq yang juga aktivis anti-Islam ditembak mati di Sweden beberapa jam sebelum menerima keputusan mahkamah berhubung perbicaraan mengenai pembakaran al-Quran.
Memetik Harian Metro, sebanyak lima individu berjaya ditahan yang dipercayai berkaitan insiden yang berlaku lewat Rabu dan diperintahkan untuk ditahan oleh pendakwa raya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menyatakan sama ada penembak termasuk dalam kalangan mereka yang ditahan.
Salwan Momika, 38, ditembak di sebuah rumah di bandar Södertälje, berhampiran Stockholm, menurut laporan penyiar awam SVT yang memetik sumber polis yang tidak dinamakan.
Sebelum ini, lelaki terbabit telah membakar salinan al-Quran dalam demonstrasi awam pada 2023 sebagai protes terhadap Islam.
Susulan itu, mahkamah di Stockholm dijadualkan menjatuhkan hukuman ke atas Momika dan seorang lagi lelaki pada Khamis dalam perbicaraan jenayah berkaitan “kesalahan menghasut terhadap kumpulan etnik atau nasional,” namun mahkamah mengumumkan keputusan itu ditangguhkan.
Jurucakap polis mengesahkan seorang lelaki ditembak mati di Södertälje, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Tertuduh lain dalam kes yang sama dilaporkan sedang memberikan temu bual pada Khamis dan memuat naik mesej di platform X dengan menulis: “Saya yang seterusnya.”
Perkhidmatan Keselamatan Sweden menyatakan bahawa pihak polis mengetuai siasatan, tetapi mereka sedang “memantau perkembangan situasi dengan teliti untuk menilai kesannya terhadap keselamatan Sweden,” kata jurucakapnya kepada Reuters.
Media Sweden melaporkan Momika sedang melakukan siaran langsung di TikTok ketika ditembak.
Video yang dilihat oleh Reuters menunjukkan polis mengambil telefon dan menamatkan siaran langsung yang dipercayai dari akaun TikTok Momika selepas itu.
Bagi umat Islam, tindakan membakar kitab suci Al-Quran sememangnya tidak boleh dimaafkan dan sudah dikira sebagai satu penghinaan yang nyata.