Siri Upin & Ipin bakal melebarkan sayapnya dengan memasuki arena gaming pula dengan memperkenalkan projek permainan konsol animasinya yang bakal ditawarkan pada tahun depan.

Pengarah Urusan, Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Haji Burhanudin Md Radzi mengumumkan berita mengujakan itu menerusi akaun Facebooknya.

Menariknya, pihak Les’ Copaque juga telah menerima salinan permainan konsol animasi Upin Ipin daripada pihak pembangunan iaitu Streamline Inc untuk tujuan pengujian pada hari semalam.

Sumber Gambar: FB

“Hari ini, game Upin & Ipin telah dihantar ke pejabat kami untuk diuji. Ia adalah game konsol yang boleh didapati di PS4 dan Switch. Tahun lepas, kami menugaskan Streamline Inc, pembangun game terkenal yang berpangkalan di Las Vegas, untuk membangunkan game Upin Ipin berdasarkan siri kami.”

“Ini adalah game mesra keluarga tanpa keganasan dan sesuai untuk semua peringkat umur. Semua kakitangan Streamline yang terlibat dalam projek ini berpangkalan di Malaysia, dan bekerja rapat dengan pasukan kami. InshaAllah, projek itu akan siap pada Oktober 2024. Sementara menunggu kelulusan daripada penerbit, kami sasar untuk melancarkannya pada suku pertama tahun depan.”

“Projek ini merupakan usaha yang menarik dalam dunia gaming, kerana ia berdasarkan siri TV popular. Kami berharap game ini akan meletakkan Malaysia dalam peta dunia gaming. Kami optimis bahawa projek ini akan berjaya dan akan menjadi kebanggaan Malaysia.”

Dalam pada itu, para peminat didapati sangat teruja selepas melihat beberapa sedutan video gameplay sewaktu diuji di pejabat Les Copaque baru-baru ini.

Sumber Gambar: FB Hj Burhan Radzi
Sumber Gambar: FB Hj Burhan Radzi
Sumber Gambar: FB Hj Burhan Radzi

Di dalam video yang dikongsikan, kelihatan corak permainan bertema open world yang mana membolehkan para pemain mengawal karakter ikonik Upin  dan Ipin dengan bebas untuk menerokai Kampung Durian Runtuh itu.

Difahamkan permainan ini bakal tersedia untuk platform konsol PS4 dan Switch bermula suku pertama tahun depan. Untuk makluman, permainan ini telah dibangunkan sejak setahun lalu dengan menelan kos sekitar RM15 juta.

Sumber