Dalam satu temubual di Bernama Radio baru-baru ini, Ketua Penolong Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Wilayah Putrajaya Rohaizad Abd Fandi berkata influencer masih perlu menjadi pembayar cukai walaupun tidak menerima bayaran secara berkala seperti individu yang menerima pendapatan tetap setiap bulan.
Menurutnya, golongan itu perlu mematuhi undang-undang cukai walaupun mungkin pendapatan mereka tidak dikenakan cukai kerana tidak melebihi nilai ambang, petik Bernama.
Baca Juga:
- Najib Razak Masih Tak Bayar Hutang Tunggakan Cukai RM1.7 Bilion Kepada LHDN
- Kutipan Cukai Tertinggi Dalam Sejarah, LHDN Raih RM183.3 Bilion Sepanjang Tahun 2023
- Cukai LHDN Terakhir Iqbal Sahaja Boleh Beli 5 Buah Axia
“Secara amnya, pendapatan pempengaruh ini adalah termasuk dalam ekonomi digital. Mengikut pasaran, marketing influencer di Malaysia, Mikro Influencer ialah mereka yang mempunyai lebih 10,000 pengikut di laman sosial dan dianggarkan memperolehi purata lima kerja mempromosi barangan dan perkhidmatan dalam sebulan.
“Manakala Makro Influencer pula mempunyai lebih 100,000 pengikut dan menjadikan kerjaya itu sebagai kerjaya sepenuh masa dengan membantu jenama dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di media sosial.
“Dari sinilah golongan influencer memperoleh pendapatan lumayan dan layak dikenakan cukai,” atanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai dengan tajuk ‘Influencer, Pengaruh Hebat Cukai’ di Bernama Radio.
Beliau berkata untuk kategori pembayar cukai ini, pempengaruh perlu mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) menggunakan borang B melalui perkhidmatan e-Filing yang boleh diakses di portal MyTax bagi melaporkan pendapatan mereka.
“Mereka perlu menghantar borang berkenaan sebelum 30 Jun setiap tahun dan jika layak dikenakan cukai, mereka perlu membayar cukai sebelum 30 Jun pada tahun itu. Segala dokumen dan rekod perniagaan juga perlu disimpan selama tujuh tahun sama ada secara elektronik atau manual.
“Antara dokumen yang perlu disimpan termasuk perbelanjaan domestik dan persendirian; penyata bank; penyata pendapatan daripada syarikat pengiklanan; invois dan pengesahan transaksi jualan serta belian selain dokumen perjanjian antara influencer dan syarikat yang mengupah mereka bagi tujuan ulasan produk atau perkhidmatan,” katanya.
Rohaizad berkata kegagalan menyimpan rekod percukaian akan mengakibatkan risiko tuntutan belanja atau pelepasan cukai tidak dibenarkan dan boleh didakwa dengan denda tidak melebihi RM10,000 serta penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.
Beliau seterusnya berkata pempengaruh tidak perlu risau untuk melaporkan pendapatan kepada LHDN kerana pendapatan bercukai mereka boleh dikurangkan dengan pelepasan cukai yang dituntut berdasarkan jumlah pendapatan seperti tuntutan sewa untuk tujuan kerja dan sebagainya.
“Kepatuhan terhadap undang-undang cukai bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi juga sumbangan kepada pembangunan negara. Influencer, sebagai suara masyarakat, harus mengambil peranan aktif dalam memberi contoh yang baik kepada masyarakat dalam hal percukaian,” katanya.