Perlawanan Liga Super membabitkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Penang FC (PFC) yang sepatutnya berlangsung pada hari jumaat ini telah dipinda ke tarikh baharu.

Menurut kemaskini Malaysian Football League (MFL), aksi tersebut telah dijadualkan berlangsung pada hari khamis ini iaitu 12 September di Stadium Sultan Ibrahim.

Baca Juga:

MFL turut menjelaskan pindaan ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pasukan yang terlibat.

Perubahan jadual ini membolehkan JDT membuat persiapan awal bagi menghadapi perlawanan AFC Champions League Elite (ACLE) menentang kelab China, Shanghai Port FC di tempat lawan.

Aksi pertama ACLE tersebut berlangsung pada 18 September depan (Rabu) dan skuad kendalian Hector Bidoglio itu dalam misi memburu kemenangan pertama.

ACLE kali ini melibatkan 24 kelab elit di Asia yang menawarkan wang hadiah lumayan sebanyak AS$10,000,000 (RM47.08 juta) untuk juara manakala naib juara turut membawa pulang AS$4,000,000 (RM18.83 juta).

24 pasukan ini dibahagikan kepada 12 pasukan mengikut zon Asia Barat dan Asia Timur.

JDT akan bermain lapan perlawanan, empat di tempat sendiri dan empat di gelanggang lawan dalam format liga 12 pasukan elit Asia Timur dengan lapan pasukan teratas akan layak ke pusingan 16 terbaik.

Aksi peringkat liga yang melibatkan 8 perlawanan bagi setiap pasukan itu akan berlangsung dari 16-18 September 2024 hingga 17-19 Februari 2025.