Deposit emas dengan anggaran rizab lebih 1,000 tan bernilai lebih $83 bilion (~RM371 bilion) ditemui di selatan China, lapor agensi berita Xinhua semalam.

Menurut Biro Geologi Hunan, ahli-ahli geologi mencungkil lebih 40 serpihan emas pada kedalaman 2,000 meter di bawah permukaan lombong emas Wangu di daerah Pingjiang.

Pada kedalaman 3,000 meter, lokasi itu dianggarkan mempunyai simpanan lebih 1,000 tan emas katanya lagi.

“Banyak teras batu yang digerudi menunjukkan terdapat emas,” kata pakar mencari bijih biro berkenaan, Chen Rulin.

Dia berkata, satu tan bijih dalam jarak 2,000 meter mengandungi sehingga 138 gram emas.

Difahamkan para ahli geologi di sana telah menggunakan teknologi pencarian bijih moden termasuk pemodelan geologi 3D dalam mengesan lubuk emas berkenaan.

Penemuan terbaharu itu berlaku ketika harga emas meningkat kepada paras tertinggi di saat berlaku kemelut global, sedangkan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) pula menjadi semakin lemah.

Dengan penemuan ini juga dijangka berupaya merangsang ekonomi kuasa besar berkenaan secara tidak langsung. Negara China merupakan pengeluar emas terkemuka dunia, menyumbang kira-kira 10 peratus daripada pengeluaran global pada 2023 berdasarkan data Majlis Emas Dunia.

 

Sumber