Isteri kepada lelaki OKU mental yang dipukul di pasar tani baru baru ini akhirnya tampil bersuara.
Menurut Faridah Abdul Karim, 44, luluh hati dia melihat suaminya dibelasah dalam video yang tular.

Kejadian tersebut berlaku di Chukai baru baru ini. Dia menganggap tindakan beberapa individu itu sangat melampau.
Faridah berkata, jika suami dia bersalah melanggar tapak jualan, seharusnya ia diselesaikan dengan cara yang baik, bukannya dengan keganasan.
Apa yang lebih membuatkan Faridah terluka melihat video itu, suaminya disepak di muka ketika mahu mencuci mukanya yang pedih selepas dicurah mi goreng.
Dipetik dari sumber Harian Metro, Faridah berkata: “Mereka tidak berhati perut, bayangkan suami sudah beberapa kali memohon maaf, mereka tetap memukul suami saya.
“Bila suami minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih selepas dicurahkan mi goreng, individu itu bertindak menyepak kepala suami.”
Faridah kemudian mendedahkan bahawa suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh bukan seorang yang bahaya atau ganas. Cuma kadangkala mulutnya agak lantang bercakap.
Namun dia percaya suaminya akan takut kalau ada pihak yang memberitahu mahu memanggil polis pada masa kejadian.
Selain itu, sepanjang 25 tahun dia mendirikan rumah tangga bersama suaminya itu, suaminya tidak lupa solat, walaupun sakit – dan selalu solat berjemaah di masjid.
Terbaru Harian Metro melaporkan bahawa suspek sudah ditahan reman 3 hari atas permohonan oleh polis.
Polis sebelum ini mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Suspek mulai direman bermula pada hari ini selepas ditahan beberapa hari lalu sebaik sahaja datang ke IPD Kemaman untuk memberikan keterangan.