Pasukan Machan FC sah menarik diri dari saingan Liga A1 Semi Pro ekoran kos penerbangan yang semakin meningkat sekaligus menadi beban bagi kelab itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab di laman media sosial baru-baru ini, kelab itu sudah tidak mampu untuk menanggung kos penerbangan yang semakin meningkat khususnya bagi menghadapi perlawanan di tempat lawan.

Baca Juga:

“Oleh kerana kekangan dana yang dihadapi oleh Machan FC disamping kos penerbangan yang semakin meningkat naik, dengan ini Machan FC mengumumkan untuk menarik diri daripada Liga A1 Semi Pro Malaysia.

“Pasukan Machan yang berasal dari Zon Tengah Sarawak dibawah Parlimen Kanowit adalah satu-satunya kelab tempatan yang mewakili Sarawak untuk ke Liga A1 Semi Pro Malaysia bagi menggantikan slot yang ditinggalkan oleh Sarawak United pada tahun lepas.

“Seperti semua sedia maklum, kami telah bergerak menggunakan dana sendiri sepanjang Liga A1 Semi Pro berlangsung. Kita juga telah mencuba untuk memohon dana daripada kementerian belia dan sukan Sarawak namun kita akur dengan jawapan menteri yang bajet kementerian tidak merangkumi penajaan untuk kelab-kelab Liga A1 yang dilihat sebagai Semi Pro.

“Setelah 12 perlawanan dan hampir 6 bulan Pasukan Machan bersaing dalam Liga A1 Semi Pro, pihak pengurusan kelab telah berbelanja hampir Rm 800 ribu duit sendiri dimana kos untuk pengangkutan sahaja, satu kali perlawanan di tempat lawan mencecah Rm 35 ribu sekaligus membebankan perjalanan kelab.

“Pihak kelab bertanggungjawab penuh diatas apa yang berlaku tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak serta memohon maaf kepada semua pemain, kerana hajat dan visi kelab untuk mengetengahkan bakat pemain tempatan bagi beraksi di peringkat kebangsaan tidak dapat diteruskan.

“Saya selaku Presiden Pasukan Machan FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Amateur Football League, Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak serta Sarawak Sports Corporation kerana membantu kami menyediakan venue sepanjang Liga berlangsung.

“Terima kasih juga kepada penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyokong perjuangan pasukan ini dan saya akur dan redha yang kita perlu berdamai dengan takdir. Sekian Terima kasih,” kata presiden kelab iaitu Azizi Fauzi.