Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan pelbagai tarikan budaya dan moden, kini semakin mendapat tempat di hati pelancong seluruh dunia.
Tidak hairanlah kenapa Malaysia telah berjaya memahat namanya sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka di dunia, mengatasi negara-negara seperti Singapura dan Indonesia.
Baca Juga:
- Kru Kabin Malaysia Airlines Diiktiraf Antara Yang Terbaik Di Dunia
- Budaya ‘Work Life Balance’ Malaysia Ke-2 Terburuk Di Dunia
Menurut laporan terkini daripada WP Travel, Malaysia kini berada di kedudukan ke-14 di peringkat global pada tahun 2024 dengan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 26.1 juta, berbanding 20.14 juta ketibaan pada tahun lepas apabila negara ini berada di kedudukan ke-15.
Ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan memperlihatkan daya tarikan Malaysia yang semakin kuat.
Di peringkat global, menurut Data Panda, Perancis masih memegang takhta sebagai negara yang paling banyak dilawati dengan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 89.4 juta.
Sepanyol berada di tempat kedua dengan 83.7 juta pelancong, diikuti oleh Amerika Syarikat di tempat ketiga dengan 79.3 juta pelancong.
Di Asia Tenggara, Thailand mendahului senarai dengan jumlah ketibaan pelancong sebanyak 39.8 juta, menduduki tempat ke-11 di peringkat global.
Malaysia berada di tempat kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara, menunjukkan bahawa negara ini semakin popular di kalangan pelancong yang mencari pengalaman unik di rantau ini.
Menurut Insider Monkey, ketibaan pelancong dari Turki ke Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 10.8% dari Januari hingga November 2023, dengan jumlah pelawat seramai 15,623 orang berbanding angka pada tahun 2019.
Ini menunjukkan minat yang semakin meningkat dari pelancong Turki terhadap tarikan yang ditawarkan oleh Malaysia.
Peningkatan ini tidak lepas daripada usaha gigih Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang terus mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan utama.
Pada tahun 2024, Malaysia terus diiktiraf sebagai destinasi bulan madu yang sangat digemari, menjadikannya pilihan utama bagi pasangan yang mencari pengalaman romantik.
Dengan kombinasi budaya yang kaya, makanan yang enak, dan pemandangan yang memukau, Malaysia sememangnya destinasi yang patut ada dalam senarai bucket list.
Sama ada pelancong berminat untuk meneroka warisan budaya yang kaya atau menikmati keindahan alam semula jadi yang menakjubkan, Malaysia pasti mempunyai sesuatu untuk semua orang.