Manchester United telah mengumumkan kehadiran dua pemain baharu sebaik sahaja tamat kempen Euro 2024 yang berlangsung di Jerman tempoh hari.

Seperti dilaporkan sebelum ini, The Red Devils telah membawa masuk penyerang, Joshua Zirkzee dari Bologna dan pertahanan tengah, Leny Yoro dengan jumlah keseluruhan melibatkan kedua-dua pemain bernilai £88 juta.

Baca Juga:

Menurut sumber laporan Goal, selepas mendapatkan dua pemain muda tersebut, skuad yang dibimbing Erik ten Hag itu kini memberikan tumpuan khusus dalam memantapkan lagi posisi bek tengah, bek kanan dan tengah.

Susulan dengan itu, United dikatakan masih berminat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanan Bayern Munich, Mathijs de Ligt dan Manuel Ugarte (Paris Saint-Germain) turut dikaitkan dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Untuk membiayai aktiviti perpindahan seterusnya, Manchester United dikatakan berkira-kira untuk melepaskan beberapa pemain utama dalam menghadapi musim lalu.

Antara pemain yang disebut sumber Goal ialah Victor Lindelof, Aaron Wan-Bissaka, Christian Eriksen, Harry Maguire, Scott McTominay, Antony dan Jadon Sancho.

Juara bertahan Piala FA itu dikatakan mahu menjual Jadon Sancho kepada Paris Saint-Germain (PSG) dimana kelab tersebut masih lagi mencari pengganti kepada bintang mereka, Kylian Mbappe yang berhijrah ke Real Madrid secara percuma.

Sementara itu dalam perkembangan lain, kem Manchester United akan ke Amerika Syarikat untuk menentang Arsenal, Real Betis dan musuh ketat iaitu Liverpool dalam aksi pra-musim di sana.