Pada tahun ini kereta ‘Proton Saga Knight’ mula menjadi bualan orang ramai apabila seorang pemuda ‘mat salleh’ berusia 30an telah memenangi hadiah utama setelah mempamerkan kereta tersebut dalam pameran kereta antarabangsa pada awal bulan Ogos lalu.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-64 semalam, dua orang mantan pereka Proton telah berkerjasama dalam mereka cipta semula model lagenda era-90an tersebut menjadi sebuah model kereta moden yang dikenali sebagai ‘Saga Knight Concept’.
Kedua-dua mantan pereka di bahagian Proton|Design tersebut ialah Saharudin Busri yang merupakan pengasas Saharudin Design dan juga Ahmad Bostami bin Ahmad, pengasas Artwist.Co.
Rekaan bentuk 3D ‘Saga Knight Concept’ ini dipertontonkan secara rasmi khusus untuk ‘Sesi Webinar Reka Bentuk’ anjuran Persatuan Pereka Perindustrian Malaysia (PEREKA) yang berlangsung pada pagi perayaan Hari Kemerdekaan Ke-64 semalam.
‘Saga Knight Concept’ ini menampilkan rekaan ‘retro-moden’ dengan mengekalkan elemen asal model asal tahun 1989an dan digabungkan rekaan lebih futuristik.
Penggunaan logo pertama Proton, lampu utama LED berbentuk garis berputus dan dikemaskan dengan lampu siang jalur LED melintang berwarna biru. Pada masa yang sama, model ini turut dilengkapi dengan pelekat ‘KNIGHT’ menghiasi pada bahagian kiri, kanan dan atas hud hadapan kereta.
Dari segi reka bentuk keseluruhan pula, Saharudin telah mengekalkan rekaan asal aeroback Proton Saga Knight dan beberapa bahagian ‘dikembangkan’ supaya model baharu ini nampak sedikit wide dan bulky.
Rim aloi yang digunakan pada tayar kereta konsep ini telah diperbaharui dan ditambah dengan rekaan kecil ‘lima kuntum’ seperti bunga kebangsaan, Bunga Raya.
Menurut portal automotif Funtasticko, rekaan kabin pada model ‘Saga Knight Concept’ yang menggunakan warna tema merah dan hitam ini sebenarnya diinspirasikan dari jam tangan edisi khas kumpulan Wings keluaran Artwist.Co yang direka sendiri oleh Ahmad Bostami.
Kemas dan minimalis, itulah konsep yang dibawa oleh Ahmad Bostami pada reka bentuk kabin kereta ‘Saga Knight Concept’ ini. Ia hadir dengan panel digital dengan skrin lebar dari kiri sehingga kanan kenderaan, unit kawalan suhu digital dan skrin infotaimen.
Tidak dilupakan juga penggunaan tombol gear jenis putar, serta butang-butang kawalan pada konsol tengah lantai di dalam model kereta yang serba ‘retro-moden’ ini.
Sangat mengagumkan apabila kereta lagenda Malaysia yang sudah berusia hampir 31 tahun ini dihasilkan semula dengan diberikan nafas baru yang selari dengan arus pemodenan industri automotif ketika waktu ini.
Sekiranya model ini dihasilkan ke dalam bentuk nyata, tidak terkejut jika model ini sold out dibeli oleh peminat-peminat legasi Proton Saga Knight bukan sahaja dari Malaysia, bahkan pasti mendapat permintaan dari pasaran antarabangsa juga.
Sebelum ini Sabarudin pernah berkongsi rekaan konsep kereta elektrik Malaysia dan beliau juga merupakan pereka untuk sportcar pertama Malaysia. Lihat rekaan Saharudin melalui pautan-pautan di bawah.
Rekaan Futuristik Dan Inovatif, Lelaki Ini Kongsikan Konsep Kereta Elektrik Malaysia