Seorang jurugambar sambilan meninggal dunia selepas dipercayai ditikam teman wanitanya di rumah di Bandar Rimbayu dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan pada 9.41 pagi daripada doktor di Hospital Cyberjaya yang memaklumkan menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri, lapor Harian Metro.
Baca Juga:
- Lelaki Maut Dipukul Miliki 10 Rekod Bahan Terlarang, Positif Dua Jenis Dadah
- PDRM Guna Lima Buah Kereta Untuk ‘Lindungi’ Pegawai Polis Langgar Maut Calon SPM
- Pasangan Bakal Bertunang Maut Dilanggar Pemandu Kereta Remaja 16 Tahun
Katanya, pengadu membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam masa 30 minit tetapi tiada tindakbalas dan denyutan nadi dari mangsa.
“Mangsa yang berusia 26 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia pada 7.25 pagi, semalam dengan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dipercayai ditikam dengan sebilah pisau.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membuat tangkapan terhadap teman wanita mangsa di kawasan hospital.
“Hasil semakan, wanita berusia 26 tahun itu adalah bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah cemburu kerana suspek mendapati mangsa telah berlaku curang terhadapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Ridhwan berkata, wanita berkenaan direman enam hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.