Media Indonesia mendakwa calon pemain warisan Malaysia, Ferdy Druijf berminat untuk beraksi bersama skuad Garuda di peringkat antarabangsa.

Media yang dimaksudkan ialah Tribun News dimana mereka menjadikan aktiviti Ferdy di laman media sosial Instagram miliknya sebagai rujukan.

Baca Juga:

Baru-baru ini, Ferdy meninggalkan komen di Instagram Eliano Reijnders yang menjadi senjata baharu Indonesia disamping pemain pertahanan iaitu Mees Hilgers.

Eliano dan Hilgera merupakan dua pemain warisan baharu yang dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan yang mengharungi saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Tribun menganggap komen tersebut sebagai salah satu bayangan bahawa pemain yang beraksi untuk kelab Austria, Rapid Wien berminat untuk beraksi bersama pasukan Indonesia.

Ferdy Druijf belanda
Sumber Gambar: Transfermarkt

Musim lalu, Ferdy dan Eliano merupakan rakan sepasukan dimana dua pemain ini beraksi bersama kelab Belanda, PEC Zwolle.

Selepas tular di laman media sosial yang mengatakan beliau ada kaitan dengan Malaysia, Ferdy Druijf mengakui sedang siapkan dokumen lengkap untuk membuktikan beliau memiliki darah keturunan Malaysia daripada sebelah neneknya.

“Keinginan saya beraksi untuk Malaysia sentiasa ada. Sekarang saya sedang menyediakan dokumen demi membuktikan nenek saya sebenarnya lahir di Malaysia,” katanya menerusi laman pencari bakat, Frfuturetalents.

Sebelum ini, Druijf mengakui ibunya dilahirkan di Malaysia namun tidak menyebut secara jelas dari negeri mana ibunya berasal.

Calon pemain warisan ini merupakan produk akademi AZ Alkmaar dan kemudian beraksi bersama beberapa kelab di Belanda dan Belgium seperti NEC Nijmegen dan KV Mechelen sebelum menyertai SK Rapid.

Pemain berketinggian 190 sentimeter itu mempunyai nilai pasaran sebesar €1 Juta atau sekitar RM5.3 Juta dan memiliki rekod jaringan memukau dengan 112 gol dalam 266 penampilan sepanjang kariernya menurut statistik Transfermarkt.

Beliau juga memiliki pengalaman luas di pentas bola sepak antarabangsa bersama skuad Belanda B-20, B-18 dan B-17.

Selain Ferdy, kapten Burnley FC, Joshua Brownhill kini berada dalam radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dinaturalisasikan bagi menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada masa datang.

Perkembangan itu dilaporkan oleh wartawan tempatan yang turut mengesahkan seorang lagi pemain dari Belanda iaitu Iggy Houben turut berpotensi mewakili Malaysia.