Perlawanan akhir Piala Futsal Malaysia (PFM) 2024 bakal berlangsung pada petang ini di Axiata Arena, Bukit Jalil yang menyaksikan Selangor akan berdepan dengan juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sejak dijenamakan kepada Axiata Arena pada 2017, stadium tertutup yang mampu memuatkan hampir 16 ribu penonton itu tidak pernah menganjurkan sebarang perlawanan futsal.
Baca Juga:
- Piala Futsal Malaysia 2024: JDT, Selangor Bakal Berentap Di Final
- 4 Pemain Ini Mampu Untuk Beraksi Di Liga Futsal Thailand
- MPFL 2024: JDT Perkuatkan Pasukan, Bawa Masuk Bruno Taffy
Pemilihan Axiata Arena dilihat amat bersesuaian dan seiring dengan penganjuran liga serta pertandingan futsal yang kian berprestij saban tahun.
Malah, pemilihan stadium itu juga turut mendapat pujian laman futsal popular luar negara di Brazil dan Indonesia.
Dalam pada itu, terdapat juga peminat mengatakan bahawa pemandangan dan keadaan gelanggang final itu seperti aura pertandingan di Eropah dengan penggunaan permukaan gelanggang berwarna hitam.
Kali terakhir acara futsal dimainkan di Stadium Putra Bukit Jalil (nama lama bagi Axiata Arena) adalah pada Grand Final Liga Futsal Kebangsaan-Felda 2011/12 yang menyaksikan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) muncul juara selepas menang ke atas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Lebih menarik untuk diperkatakan, Khairul Effendy Mohd Bahrin yang ketika itu menjulang trofi bersama PKNS FC akan turun beraksi buat Selangor pada malam ini.
Sebelum aksi final pada jam 5.30 petang, Pahang Rangers dan KL City FC akan bertembung sesama sendiri untuk perebutan tempat ke-3/4.