Seperti dilaporkan sebelum ini, jodoh Brendan Gan dan Selangor sudah sampai ke penghujung selepas kelab tersebut memuatnaik video penghargaan buat pemain tengah itu, malam tadi.
Menyertai Selangor dari Perak pada musim 2020, Brendan menghasilkan 14 gol serta mencipta 12 bantuan jaringan dalam 80 penampilannya bersama skuad Gergasi Merah itu.
Baca Juga:
- Tiada Lagi Kelibat Brendan Gan Bersama Selangor
- Piala Asia 2023: Malaysia Pulang Dengan Satu Mata, Cemerlang Ikat Korea Selatan 3-3
- Piala Asia 2023: Purata Skuad Malaysia Antara Yang Tertua
Destinasi seterusnya buat pemain tengah yang bakal menjengah usia 36 tahun pada 3 Jun nanti masih lagi menjadi tanda tanya.
Terdapat sumber mendedahkan beliau akan ke Sri Pahang dan ada juga spekulasi mengatakan Brendan mahu beraksi di kampung halamannya, Australia.
Disebalik teka-teki pasukan baharu yang bakal disertai, sudah pasti cerita kegigihan Brendan bangkit daripada pelbagai episod duka dalam kariernya lebih mencuri tumpuan ramai.
Bangkit daripada dua kecederaan ACL
Selain penyakit testis yang pernah dihidapi pada Julai 2021, Brendan sebelum ini berjaya bangkit daripada dua kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya.
Kali pertama pemain yang bergelar pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 itu mengalami kecederaan ACL adalah pada tahun 2015 ketika beliau menyarung jersi Kelantan pada aksi Liga Super menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Lebih perit buat beliau, kecederaan itu hadir pada perlawanan sulung beliau dalam saingan Liga Super sebagai pemain tempatan.
Keadaan yang sekali gus menyaksikan Brendan terpaksa mengambil keputusan untuk terbang ke Australia bagi menjalani proses pemulihan dengan wangnya sendiri.
Berada di bawah pemantauan fisioterapi skuad bawah 23 tahun Australia, Kieran Rooney dan segalanya berjalan dengan lancar sekali gus memberikan peluang buat Brendan untuk kembali semula ke Kelantan pada Januari 2016.
Kali ini beliau berpeluang untuk membuktikan kemampuan dirinya dengan mempamerkan aksi meyakinkan dalam kempen Liga Super sehingga beliau terpilih untuk menyertai skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing Datuk Ong Kim Swee untuk berhadapan Indonesia.
Aksi di Stadium Manahan, Jawa Tengah yang berlangsung pada 6 September 2016 itu merupakan perlawanan rasmi pertama buat Indonesia selepas Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menggantung Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) ekoran campur tangan kerajaan dalam urusan liga bola sepak di sana.
Hanya sempat beraksi selama 15 minit, Brendan terpaksa dikeluarkan dan keputusan imbasan yang dibuat menunjukkan beliau sekali lagi mengalami kecederaan yang amat ditakuti pemain bola sepak itu.
Perkara yang sama berulang lagi buat Brendan apabila pihak berkaitan tidak menanggung kos rawatan dan pemulihan lutut kirinya sekali gus memaksa Brendan sekali lagi perlu mengambil keputusan kembali semula ke Australia, juga dengan sumber kewangan sendiri.
Disiplin tinggi ditampilkan dalam menjalani proses pemulihan yang sudah pastinya membuatkan Brendan cukup terseksa itu telah menerbitkan sinar baharu buat kariernya.
Perak & Mehmed Durakovic beri ‘talian hayat’
Hal ini kerana barisan pengurusan Perak dan ketua jurulatih pada ketika itu, Mehmed Durakovic berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi musim 2018.
‘Usaha tidak akan mengkhianati hasil’, itulah kata-kata yang boleh menggambarkan perjalanan karier Brendan Gan selepas mengalami dua kecederaan ACL apabila beliau begitu cemerlang dalam mengemudi jentera tengah Perak bersama Leandro Dos Santos.
Sehubungan dengan aksi menariknya bersama Perak sehingga berjaya membantu pasukan tersebut muncul juara Piala Malaysia 2018 dan naib juara Piala FA 2019, Brendan kembali mendapat tempat bersama skuad kebangsaan dan menjadi pilihan utama pengendali, Tan Cheng Hoe.
Ujian besar terus menimpa Brendan
Selepas bersama Perak, perjuangan Brendan diteruskan di Selangor bermula musim 2020 dan seperti diketahui hanya selepas setahun, beliau mengalami kanser testis yang memaksanya sekali lagi berehat panjang.
Tanpa aksi kompetitif hampir setahun, Brendan akhirnya kembali beraksi pada 19 Jun 2022 ketika perlawanan Liga Super menentang Sarawak United.
Brendan sempat beraksi selama 45 minit sebelum dikeluarkan pada awal separuh masa kedua bagi digantikan dengan pemain muda, Syahir Bashah.
Keadaan itu juga menyaksikan beliau terlepas kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dimana Malaysia mara ke pusingan akhir dengan layak secara merit.
Kegigihan untuk mendapatkan semula tempat dalam skuad kebangsaan membuahkan hasil apabila Brendan Gan kembali dipanggil untuk menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric Cup 2022.
Beraksi pada kesemua enam perlawanan dimana lima daripadanya sebagai kesebelasan utama, Brendan menjadi antara nadi penting buat Malaysia yang mara ke separuh akhir.
Impian beraksi di Piala Asia terlaksana
Tidak terpilih ke pusingan kelayakan kerana beliau pada ketika itu masih belum membuat sebarang penampilan selepas pulih daripada kanser membuatkan Brendan mengimpikan untuk beraksi di Qatar.
Impian tersebut menjadi kenyataan buat Brendan selepas namanya turut diumumkan oleh Kim Pan-gon untuk menggalas cabaran negara dalam saingan Piala Asia 2023.
Meskipun dua aksi awal beliau hanya memanaskan bangku simpanan, peluang diberikan Pan-gon pada perlawanan terakhir menentang Korea Selatan digunakan sebaiknya Brendan.
Beliau beraksi dengan cukup baik di jentera tengah sepanjang perlawanan (digantikan pada masa kecederaan) yang seperti diketahui Malaysia berupaya mengikat gergasi Asia tersebut 3-3.
Selamat maju jaya, Brendan Gan
Sekiranya kita membicarakan tentang pemain kacukan Malaysia-Australia ini sudah pastinya kegigihan beliau dalam bangkit melawan dugaan yang melanda kariernya akan bermain di bibir para peminat bola sepak Malaysia.
Kemana jua tempat beliau ‘merumput’ selepas ini, Brendan akan sentiasa dikenang sebagai simbol inspirasi buat semua berikutan kejayaan besar beliau dalam menongkah segala cabaran yang pernah menghantui kariernya.