Jualan tiket aksi Kelayakan kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 antara Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nampaknya kurang mendapat sambutan mengalakkan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan setakat ini sebanyak 7587 keping tiket telah terjual sekaligus membayangkan kemerosotan jumlah kehadiran penyokong yang tidak sampai 10,000 orang di SNBJ pada hari esok.
Baca Juga:
- Apa Yang Mereka Lakukan Ini Bukti Jersi Harimau Malaya Bukan Hanya Untuk Melayu
- Kim Pan-gon ‘Fed Up’, Terima Banyak Mesej Persoalkan Pemilihan Pemain
- Skuad B-23 Tahun Negara Bakal Terima Kehadiran Pemain Baharu
Justeru itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon FAM mempertimbangkan untuk menurunkan harga tiket bagi menarik kehadiran lebih ramai penyokong bagi memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya.
Menurut laporan Berita Harian, Hannah telah meneliti permintaan segelintir peminat supaya FAM menjual tiket dengan ‘Harga Rahmah’ dan kini sedang menunggu maklum balas daripada badan induk itu.
“FAM sudah buat keputusan untuk guna Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi hal ini bukan saja mengenai rumput tetapi persekitarannya kerana Harimau Malaya akan terima sokongan padu. Itu sebabnya sekarang apa yang diperlukan adalah penyokong beli tiket untuk bersama pasukan.
“Saya juga melihat komen yang meminta tiket Rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin. Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.
“Sebaiknya boleh untuk kita perbanyakan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan,” katanya.
FAM menetapkan harga tiket bagi aksi menentang Kyrgyzstan adalah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.
Bagaimanapun, peminat yang tidak mampu hadir ke stadium masih boleh menonton secara percuma menerusi skrin layar gergasi yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya lebih ramai penyokong Harimau Malaya dapat menyaksikan perlawanan tersebut.
Perlawanan kelayakan Piala Dunia sangat penting berbanding aksi persahabatan antarabangsa kerana ia menawarkan mata ranking FIFA yang lebih banyak dan mampu membantu Harimau Malaya capai sasaran ranking 120 dunia.