Badan penganjur liga bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) menegaskan bahawa tindakan dalam menangguhkan perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam semalam adalah mengikut perkara yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2024-2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Giorgio Pompili Rossi menerusi laman media sosial MFL sebentar tadi, keputusan diambil adalah kerana hujan lebat hingga menyebabkan padang tidak sesuai digunakan.

Baca Juga:
- ‘Kami Tidak Diberi Peluang Untuk Berbincang’ – Pengerusi Perak FC
- ’90 Peratus Padang Dalam Negara Masih Teruk’ – Tunku Ismail
- ‘Padang Yang Teruk Boleh Menjejaskan Pemain’ – Ong Kim Swee
Ia sekali gus menepis dakwaan pihak Perak FC menerusi Datuk Seri Azim Zabidi yang mengatakan Perak tidak diberikan ruang untuk berbincang berhubung situasi tersebut.
“MFL ingin menjelaskan bahawa keputusan untuk menangguhkan perlawanan Liga Super melibatkan Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh semalam (5 Oktober 2024) dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia 2024-2025.’’
“Berdasarkan laporan awal Komisioner Perlawanan, penangguhan perlawanan yang dijadual jam 8:15 malam itu dibuat mengikut Peraturan 2.8.1 Perlawanan Yang Dihentikan berikutan hujan lebat sehingga mengakibatkan padang tidak sesuai untuk digunakan.’’
“Komisioner Perlawanan telah mengikut proses yang ditetapkan di mana perlawanan tidak boleh dimulakan lagi dan kedua-dua kelab hendaklah menunggu perlawanan untuk dimainkan semula dalam masa maksimum 60 minit (30 minit pertama dan 30 minit kedua) dengan persetujuan kedua-dua kelab.’’
“Selepas selesai tempoh menunggu itu, keadaan padang masih tidak boleh digunakan maka Komisioner Perlawanan telah memaklumkan kepada kedua-dua kelab mengenai keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu.’’
“Justeru dakwaan Perak FC adalah tidak benar kerana pasukan tuan rumah mengetahui mengenai keadaan semasa padang itu kerana mereka telah dimaklumkan oleh Komisioner Perlawanan untuk menunggu dalam tempoh 30 minit + 30 minit seperti yang ditetapkan dalam peraturan pertandingan.’’
“Meskipun pemeriksaan padang telah dilakukan pada jam 6:00 petang, itu tidak bermakna padang dalam keadaan yang boleh digunakan kerana keputusan untuk meneruskan atau menangguhkan perlawanan dibuat dengan menilai keadaan padang berdasarkan keadaan terkini sebelum sepak mula yang jelas terjejas teruk akibat hujan lebat.’’
“Jelas di sini bahawa kenyataan Perak FC mengenai mereka tidak diberi ruang dan peluang untuk berbincang sepanjang proses membuat keputusan semalam adalah bercanggah, menyimpang dan tidak menggambarkan keadaan sebenar pada ketika itu.’’
“MFL gembira dengan usaha Perak FC untuk menaiktaraf Stadium Perak, Ipoh menerusi geran yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Jelas apa yang dialami oleh kedua-dua pasukan semalam membuktikan bahawa stadium itu perlu dibaikpulih khususnya bahagian padang dan diharap kelab-kelab lain juga akan berbuat demikian secepat mungkin.’’
“MFL sentiasa menghargai sokongan penyokong-penyokong yang menjadi tulang belakang kepada Liga Malaysia dan kami sememangnya memahami kekecewaan mereka apabila perlawanan semalam terpaksa ditunda ke satu tarikh lain.’’
“Namun, keputusan yang telah dibuat semalam telah mengambil kira pelbagai aspek sebelum MFL memutuskan perlawanan tersebut harus ditunda disebabkan keadaan padang yang tidak mengizinkan,’’ tambah Rossi lagi.