Pendahulu Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan sulung pada musim ini selepas tunduk 1-2 kepada Selangor dalam aksi yang berlangsung sebentar tadi.
Kekalahan itu membantutkan usaha skuad kendalian Juan Manuel Garcia untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga berikutan kekalahan pencabar terdekat, Pahang Rangers ditangan TOT United 3-4.
Malah keputusan yang dicatatkan di Kompleks Sukan Negara Panasonic itu membolehkan Selangor melonjak ke tangga kedua untuk
mengumpul 21 mata, ketinggalan enam mata dibelakang JDT.
Aksi cukup hangat dan sangat mendebarkan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan tetapi ia masih belum mampu mengubah kedudukan pada separuh masa pertama.
JDT berada dihadapan pada minit ke-34 menerusi sepakan penalti kedua (Second Spot) oleh Bruno Taffy yang berjaya menewaskan penjaga gol Selangor, Syawal Sabaruddin.
Aksi lebih mendebarkan pada lewat permainan apabila penjaga gol JDT, Aiman Fikry Ramli dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan dalam kawasan D.
Sepakan penalti diberikan kepada Selangor tetapi tendangan Well Pereira sekadar singgah di tiang gol untuk menyelamatkan gawang JDT daripada dibolosi.
Kekecewaan itu ditebus Gabriel Rosa selepas rembatannya daripada sebelah kanan gagal diselamatakan penjaga gol gantian, Azrul Hadee pada minit ke-39.
Pemain kebangsaan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan muncul wira buat Selangor ketika aksi hanya berbaki beberapa saat untuk ditamatkan sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga buat skuad kendalian Edgar Baldsoo
Sementara itu di Ortus Eight Arena Kampung Baru, TOT United mempamerkan corak permainan penuh disiplin untuk melakar kejutan ke atas juara bertahan, Pahang Rangers.
Meskipun berdepan lawan yang mempunyai reputasi hebat, ia tidak langsung menggentarkan semangat juang anak-anak buah Qusmaini Noor Rusli.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka sentiasa berada dihadapan dan memaksa Pahang untuk bangkit sebanyak tiga kali.
Ilyasha Alimin berjaya mencipta dua jaringan dan satu lagi gol buat TOT United disumbangkan oleh Syarifuddin Mat Akhir manakala Murilo Saad, Harith Naim dan Felipe De Souza meletakkan nama selaku penjaring Pahang Rangers.
Namun, jaringan keempat oley Guntur Sulistyo Ariwibowo menghadiahkan tiga mata berharga buat TOT United.