Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin menghampiri kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 selepas berjaya menundukkan Pahang Rangers 5-4 pada aksi yang berlangsung di Kompleks SUKPA, Kuantan sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan pertama Pahang Rangers di gelanggang sendiri selepas dua edisi MPFL.

Skrip yang sama berlaku seperti di Pasir Gudang dimana kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan untuk menjelmakan aksi penuh menarik sepanjang perlawanan.

JDT terlebih dahulu membuka jaringan menerusi bekas pemain Pahang Rangers, Muhd Ridzwan Bakri seawal minit kelima dan empat minit kemudian giliran Awalluddin Mat Nawi pula melebarkan kedudukan.

Tidak sampai seminit, Murilo Carlos Saad merapatkan defisit jaringan tetapi Ridzwan sekali lagi meletakkan nama selaku penjaring untuk kembali memberikan kelebihan dua gol buat JDT pada minit ke-11.

Memasuki minit ke-14, aksi lebih menarik apabila percubaan daripada peledak berbisa Pahang Rangers, Felipe De Souza berjaya membolosi jangkauan penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq.

Ketika Pahang Rangers menggandakan asakan pada babak kedua untuk memadamkan kelebihan dimiliki JDT, Ridzwan Bakri melengkapkan hatriknya pada minit ke-25 selepas beliau menolak masuk bola susulan percubaan awal Awalludin yang diselamatkan Zainulzahin Sinuan.

Taktikal ‘Power Play’ dimainkan Gerard Casas pada lewat permainan membuahkan hasil selepas Murilo Saad menyumbat gol ketiga Pahang bagi memberikan tekanan kepada JDT.

Momentum tersebut bagaimanapun tersentak seketika dimana tandukan Awalluddin selepas menerima hantaran jauh Azrul Hadee tidak mampu diselamatkan Zainulzahin.

Pahang Rangers cuba bangkit pada minit akhir permainan menerusi jaringan Felipe Souza tetapi ia sudah terlambat untuk menghalang tiga mata penting buat JDT.