Pemain import Gombak TOT United, Guntur Sulistyo Ariwibowo beraksi cemerlang untuk membantu pasukannya menewaskan Sabah 7-5 pada aksi kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara, Shah Alam sebentar tadi.
Guntur yang merupakan pemain import dari Indonesia itu meledakkan lima gol untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat Gombak TOT United.
Tewas pada aksi sulung bertemu JDT pada minggu lalu, Gombak TOT United yang dibimbing Qusmaini Noor Rusli mempamerkan aksi bertenaga sebaik wisel permulaan.
Namun, deretan peluang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan yang jelas mengecewakan kem Gombak TOT.
Sebaliknya, Sabah yang turut mendapat beberapa peluang terbaik berjaya membuka tirai jaringan menerusi Kairul Sukri pada minit ke-10.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Gombak TOT United menyamakan kembali kedudukan pada minit ke-13 hasil percubaan susulan dilakukan Habibi Sultan.
Berselang enam minit kemudian, Guntur menjadikan kedudukan 2-1 selepas sepakan percuma leret dari tengah gelanggang yang diambil beliau tidak mampu diselamatkan penjaga gol Sabah, Mohammad Faezwan Ashwandie Ahmad.
Kesilapan ketua pasukan Sabah, Akmal Hakimi Mohd Naim pada minit akhir permainan di kawasan sendiri memberikan ruang seluasnya buat Guntur untuk merembat masuk bola bagi jaringan kedua peribadinya pada perlawanan ini.
Anak kelahiran Kalijambe, Sragen yang berada di Jawa Tengah itu melengkapkan hatriknya sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung menerusi satu serangan pantas.
Tersentak dengan tiga jaringan tersebut, Sabah merapatkan defisit jaringan menerusi Felipe Leiti pada minit ke-25 tetapi Guntur menambah jaringan kelima buat Gombak TOT United susulan kesilapan pemain lawan ketika taktikal ‘Powerplay’.
Kedudukan 5-2 nyata bukan kelebihan selesa buat Gombak TOT United apabila taktikal ‘Powerplay’ dimainkan pengendali Sabah, Patt Sriwijit cukup berbahaya.
Ia jelas dibuktikan dengan tiga gol yang diperolehi Sabah menerusi taktikal tersebut hasil Ahmad Azim Mohammad pada minit ke-33 dan ke-36 serta Hikmal Firdaus Darul Ridzuan (minit ke-35).
Ketika kedudukan terikat, jurulatih dari Thailand itu terus menggunakan taktikan powerplay untuk mendapatkan jaringan kemenangan buat pasukannya.
Namun, perancangan itu tidak berjalan lancar apabila Gombak TOT United mengambil kesilapan diatas kesilapan pemain Sabah bagi mendapatkan dua gol oleh Ridhwan Zainal dan Guntur.
Keputusan tersebut kekal hingga tamat permainan yang sekali gus menggagalkan impian Sabah bagi meraih kemenangan kedua dimana mereka melakar kejutan ke atas Selangor pada minggu lalu.