Pahang Rangers mempamerkan kebangkitan dramatik untuk mengikat Shah Alam City 6-6 pada aksi pembukaan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024 yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.
Jumlah gol terhasil pada perlawanan ini sudah cukup untuk menceritakan segalanya tentang aksi kedua-dua pasukan yang jelas cukup mendebarkan.
Baca Juga:
- Perlawanan Persahabatan: Pahang Rangers Tundukkan JDT 5-4
- Pemenang Copa America Futsal, Murilo Saad Sertai Pahang Rangers
- Penantian Terlerai, Ridzwan Bakri Dan Mahadir Harahap Tambah Kekuatan Skuad Futsal JDT
Pahang Rangers yang merupakan juara bertahan terlebih dahulu berada dihadapan seawal minit ketiga selepas Felipe De Souza dengan tenang menolak masuk bola ketika penjaga gol Shah Alam City, Amir Hakim Rosle terlalu awal keluar dari posisinya.
Tidak cukup jaringan itu, Amirul Khairuddin menjadikan kedudukan 2-0 berselang seminit kemudian setelah beliau mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang
Kelebihan dua gol itu bagaimanapun kembali disamakan tuan rumah hasil jaringan yang disumbangkan oleh Zainal Abidin Hamzah (minit ketujuh) dan Razin Rahim (minit ke-13).
Jaringan penyamaan itu jelas meningkatkan moral anak buah Muizzuddin Harris untuk menambah jaringan ketiga menerusi pemain import, Isaias Figueiredo Caja Filho pada minit ke-17.
Dua minit kemudian, Zainal menambah jaringan kedua peribadi buatnya yang melepasi penjaga gol, Zainulzahin Sinuan setelah menerima lorongan Razin.
Defisit itu dikurangkan oleh Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir seminit sebelum tamat babak pertama bagi menjadikan kedudukan 4-3.
Kedudukan kembali terikat pada minit ke-22 apabila terkaman pantas Murilo Saad merampas bola dari kaki Isaias Figueiredo memberikan ruang buatnya untuk melakukan hantaran lintang kepada Ahmad Harith.
Pemain skuad kebangsaan itu yang berada dalam kawasan D Shah Alam City tidak berdepan masalah untuk menjaringkan gol.
Skrip seperti babak pertama kembali berlaku dimana Shah Alam City kembali memiliki kelebihan dua gol menerusi jaringan Farhan Khairul Anuar pada minit ke-25 dan ke-37.
Semangat juang tidak mengenal lelah jelas ditampilkan oleh skuad kendalian Gerard Casas Ullestre itu yang bangkit dengan dua gol pantas oleh Murilo Saad dan hatrik daripada Ahmad Harith.
Kebangkitan yang akhirnya menyelamatkan maruah Pahang Rangers daripada tewas pada aksi sulung sekali gus membawa pulang satu mata ke Kuantan.