Penyampai radio IKIM FM, Tyzo Xander mendedahkan beliau mengalami tekanan selama tiga bulan akibat kecaman dan kritikan sewaktu awal-awal berkhidmat di stesen radio IKIM FM.
Memetik Berita Harian, tiga bulan pertama adalah satu tempoh yang penuh cabaran buat penyampai radio tersebut.
Baca Juga:
- Demi Agama, Tyzo Pilih IKIM FM
- DJ Lin Jawab Dakwaan Tidak Senaraikan Nama Tyzo Di ABPBH
- ‘Singkir Saya Seperti Penjenayah’ – Tyzo
“Mungkin ada pendengar IKIM FM yang lama tidak boleh terima saya. Tiga bulan pertama adalah bulan paling mencabar, di mana saya banyak menerima kecaman teruk.
“Tapi, mungkin juga mereka nak bunuh semangat saya. Bukan semua, tapi hanya segelintir, tapi tetap memberikan kesan kepada emosi.
“Sudah tentu saya sedih walaupun ia hanya satu atau dua orang yang mengecam. Mereka katakan saya tidak sesuai dengan IKIM FM dan saya riuh tak kena dengan rakan penyampai, Suffian Amrin yang lebih baik penyampaiannya.
“Saya dibayar untuk menghiburkan dan memberikan informasi, jadi saya teruskan. Tapi, sememangnya tiga bulan pertama saya makan ubat, tapi bukanlah ubat penenang.
“Kadang kala saya pening kepala, jadi makan paracetamol dan seumpamanya,” jelasnya kepada BH Online.
Dalam masa sama, beliau juga berasa sangat tertekan selepas membaca komen daripada segelintir netizen di media sosial.
Komen-komen tersebut berbaur mahu memberitahu pihak pengurusan IKIM FM bahawa dirinya tidak cukup bagus untuk menjalankan tugas di stesen radio itu.
“Saya juga manusia, ada rasa tertekan sebab saya juga membaca komen. Bila ada komen negatif, saya tersentak juga.
“Saya masih lagi baca komen dan Alhamdulillah, kini sudah jauh berkurangan dan rasanya sudah tiada. Hanya dalam dua hingga tiga bulan pertama,” katanya lagi.
Bagaimanapun Tyzo mengakui tidak ada rasa menyesal apabila menyertai stesen radio IKIM FM, bahkan beliau berasa berbangga.
Ini kerana dengan menyertai stesen radio islamik itu, beliau berpeluang dapat belajar serta mendalami program agama.