‘Saham’ pengadil tempatan, Muhammad Nazmi Nasaruddin terus melonjak apabila beliau terus mendapat pujian ekoran prestasi baiknya dalam mengemudi perlawanan panas menemukan Persib dan Persija Jakarta, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung itu menyaksikan pasukan tuan rumah berjaya meraih kemenangan hasil jaringan Dimas Drajad (minit ke-38) dan Ryan Kurnia (minit ke-82).

Baca Juga:

Pada perlawanan tersebut, Nazmi telah melayangkan tujuh kad kuning dan dua kad merah dimana Firza Andika (Persija Jakarta) diperintahkan keluar padang pada minit ke-28 selepas menerima kad kuning kedua.

Manakala pemain tengah Persib Bandung, Marc Anthony Klok pula menerima nasib sama di minit ke-62.

Perlawanan yang diadili Nazmi sebentar tadi. Kredit Foto: Persija Jakarta

Menurut sumber laporan CNN Indonesia, walaupun dua kad merah dilayangkan, Nazmi masih mampu mengawal keadaan dengan cukup baik hingga mendapat pujian warga netizen.

Kecemerlangan ditampilkan Nazmi dalam mengemudi permainan bukanlah pertama kali tetapi sebaliknya beliau turut mendapat pujian pada aksi Maluku Utara United menentang Bali United pada 21 September lalu.

Pengadil berusia 34 tahun yang memiliki lesen Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu jelas amat tegas dalam mengawal permainan serta mampu memberikan keputusan tepat.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Agung itu menyaksikan  Nazmi Nasaruddin telah melayangkan lima kad kuning manakala satu kad merah kepada pemain Maluku Utara United, Tatsuro Nagamatsu.