Nama syarikat automotif gergasi Jepun iaitu Nissan kini menjadi sebutan apabila didakwa sudah berada dalam tahap kritikal susulan prestasi kewangan yang merosot teruk.
Ini termasuklah jumlah produksi yang semakin perlahan sekaligus jualan kenderaan merosot dan akibatnya beribu pekerja terpaksa diberhentikan demi kelangsungan syarikat.
Perkara ini bertambah serius selepas pendedahan laporan temu bual bersama Financial Times, yang mana mendakwa Nissan kini benar-benar sudah berada di hujung tanduk.
Bahkan, dua eksekutif Nissan mengesahkan bahawa syarikat mereka hanya mempunyai 12 ke 14 bulan sahaja lagi untuk bertahan. Selain itu, mereka kini hanya bergantung pada pasaran Jepun dan Amerika Syarikat dalam menjana keuntungan.
Demi kelangsungan syarikat terbabit, mereka dilaporkan sedang giat mencari pelabur jangka panjang baharu seperti kumpulan insurans besar atau bank untuk menggantikan beberapa pegangan ekuiti Renault.
Untuk rekod, Nissan sebelum ini diselamatkan daripada kebankrapan pada tahun 1999 oleh Nissan, di mana sebanyak 36.8 peratus pegangan dibeli oleh Renault.
Namun pada tahun 2023, Renault mengurangkan sahamnya di dalam Nissan dengan berbaki 15 peratus sahaja.
Dalam masa sama, syarikat itu juga tidak menolak kemungkinan pesaing tradisinya, Honda bakal mengambil alih pegangan majoriti dalam syarikat itu disamping menandatangani perkongsiannya dalam pembangunan EV jangka panjang.
Perkara ini dikuatkan lagi Renault juga sedang mempertimbangkan penjualan sebahagian pegangan sahamnya kepada Honda.
Pembuat kereta Perancis itu dilaporkan sedang menyusun semula pakatan 25 tahunnya bersama Nissan.
Syarikat terbabit turut mengatakan perkongsian Honda-Nissan yang lebih besar bakal memberi impak positif ke atas syarikat Renault.