Berita buruk bagi kem Selangor FC dimana salah seorang pemain import mereka iaitu Noor Al-Rawabdeh mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sekaligus memaksa pemain itu untuk berehat panjang.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Noor memuat naik kenyataan dimana beliau disahkan mengalami kecederaan ACL selepas aksi Liga Super menentang PDRM FC di Stadium MP Selayang baru-baru ini.

Baca Juga:

“Selepas pemeriksaan, saya disahkan mengalami kecederaan ACL. Dan kami hanya mengeluarkan kata-kata yang baik, segala puji syukur kepada Allah untuk semuanya,” katanya.

Noor Al-Rawabdeh
Noor Al-Rawabdeh

Noor Al-Rawabdeh menjadi salah satu pemain penting bagi Selangor musim ini dimana beliau menjadi pilihan ketua jurulatih pasukan, Nidzam Jamil untuk mengisi bahagian tengah dalam kesebelasan utama.

Malah, pemain berusia 27 tahun itu juga diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas sebagai ketua pasukan sekiranya Safuwan Baharudin tidak diturunkan.

Sebelum ini, Selangor kehilangan seorang lagi pemain tengah iaitu Alexander Agyarkwa Ameyaw dimana beliau terpaksa direhatkan kira-kira tiga bulan ekoran kecederaan lutut dialaminya.

Alex mengalami kecederaan tersebut ketika aksi final Piala FA musim ini bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana pemain kelahiran Ghana itu terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama ekoran menjadi mangsa terjahan keras pemain lawan.

Ketiadaan Alex memberi kesan mendalam kepada skuad Gergasi Merah dimana mereka tewas dengan keputusan 6-1 dalam perlawanan itu.

Ketiadaan Noor dan Alex memberi peluang kepada beberapa pemain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan dimana pemain seperti Nikola Jambor dan Syahir Bashah akan bersaing bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Nidzam juga mempunyai pilihan dimana beliau boleh menurunkan Harith Haiqal atau Safuwan di bahagian tengah sekiranya diperlukan.